KUANTAN - Logo gergasi 1Malaysia di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang di sini, diturunkan pada 8 pagi tadi.

Tinjauan Bernama mendapati kerja-kerja penurunan logo cetusan idea bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2009 itu selesai  kira-kira 10 pagi.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kuantan Izad Zainal Muhammad Safian berkata ia dijalankan berpandukan daripada arahan Unit Strategi Nasional, Kementerian Kewangan.

“Arahan itu meminta semua logo 1Malaysia yang terdapat dalam UTC turut diturunkan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

UTC Pahang menempatkan pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen, Pengurusan Air Negeri Pahang (PAIP) serta kemudahan klinik kesihatan dan klinik gigi.

Pusat yang mula beroperasi pada 1 April 2013 itu bertujuan memudahkan orang ramai untuk berurusan dengan agensi awam di dalam satu bangunan - Bernama