KUANTAN -  Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah bas ekspres membawa 35 penumpang dalam kemalangan di Kilometer 34, Jalan Kuantan-Kemaman berhampiran Sungai Baging awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada 3.15 pagi itu, mangsa Chen Sek Yee, 29, yang memandu kereta jenis Proton Persona meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami, manakala pemandu bas ekspres berkenaan dan kesemua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Mohd Noor Yusof Ali berkata ketika kejadian, mangsa yang merupakan seorang peniaga, sedang memandu sendirian dari arah Kemaman menghala ke Kuantan.

"Sampai di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bas yang datang dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuala Terengganu itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mayat mangsa yang berasal dari Sungai Lembing itu kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan sebelum diserahkan kepada anggota keluarganya pagi tadi.

Polis katanya telah mengambil sampel darah dan air kencing pemandu bas bagi ujian toksikologi selain mengesan saksi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- Bernama