KUANTAN - Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandu adiknya terbabas dan melanggar penghadang jalan di KM 238 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran Gambang di sini, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Mohd Noor Yusof Ali berkata dalam kejadian pukul 5.50 pagi itu, mangsa Shahrul Nazri Mohamed, 40, yang berasal dari Jalan Pengkalan Chepa, Kelantan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kemalangan juga mengakibatkan ibu bapa mangsa, Mohamed Ab Rahman, 69, Rubiah Abdullah (umur belum diketahui) dan adik mangsa Shahirah, 23, yang memandu kereta cedera, katanya.

"Mereka dipercayai dalam perjalanan ke Shah Alam, Selangor dari Kota Bharu, Kelantan apabila kereta yang dinaiki hilang kawalan. Kemalangan mengakibatkan semua mangsa tersepit di dalam kereta jenis Nissan Slyphy," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Noor menambah mayat Shahrul Nazri dan semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati pemandu kereta itu tidak mempunyai lesen memandu yang sah dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Seorang lelaki warga emas maut apabila motosikal yang diboncengnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di hadapan Masjid Peringat, di sini, malam tadi.
  • BALING - Seorang remaja maut terperosok bawah kereta, manakala rakannya pula parah sejurus melambung ke atas cermin sebuah lagi kereta, gara-gara memotong tak lepas.
  • SETIU - Seorang anggota polis yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 55 Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja di Kampung Bari Kecil, 5.20 pagi tadi meninggal dunia.
  • KLANG - Seorang pemandu lori terpaksa menahan kesakitan apabila kakinya tersepit di tempat duduk selepas kenderaan dipandunya merempuh sebuah treler di Jalan Teluk Kapas, Rantau Panjang, di sini, pagi tadi.
  • KUALA LIPIS - Satu kemalangan berlaku di laluan Lipis-Gua Musang di Merapoh membabitkan sebuah van jenazah dan pacuan empat roda petang tadi.