KUANTAN - Sebuah Jawatankuasa Penyelaras Pusat Tahfiz daerah Kuantan akan ditubuhkan bagi mengatasi masalah kewujudan pusat tahfiz tidak berdaftar di daerah ini.

Pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Abdul Zaki Md Zain yang juga kadi daerah Kuantan berkata, setakat ini, lebih 20 daripada 60 pusat tahfiz, di sini, tidak berdaftar dengan pihak berwajib.

"Penyebab utama mereka tidak berdaftar adalah kerana bimbang tidak menepati syarat pihak berkuasa seperti bomba daripada aspek keselamatan kebakaran atau jabatan kesihatan melibatkan aspek penyediaan makanan dan kebersihan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Cucuh api dan ugut potong kemaluan budak tahfiz]

"Ada juga pengusaha tahfiz yang mempunyai stigma bimbang pusat tahfiz mereka diambil oleh Jaip jika berdaftar, sedangkan perkara itu tidak benar sama sekali kerana Jaip hanya berperanan sebagai pemantau," katanya.

Abdul Zaki berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin melawat sebuah pusat tahfiz di sini, yang dikatakan lokasi kejadian seorang kanak-kanak berusia lapan tahun didera.

Pusat tahfiz berkenaan dikendalikan sepasang suami isteri yang dikenali sebagai ummi dan walid dalam kalangan pelajar, disahkan beroperasi tanpa lesen daripada Jaip.

Selain itu, Abdul Zaki berkata, pendaftaran pusat tahfiz bukan bertujuan untuk menyukarkan mana-mana pihak, namun perlu dilakukan demi aspek keselamatan, kebajikan dan kualiti pendidikan yang diterima pelajar.

"Ada di antara pusat tahfiz ini menggaji tenaga pengajar luar seperti dari India, Indonesia dan negara Timur Tengah... yang ada keperluan dan syarat yang perlu dipatuhi dari sudut undang-undang.

"Kita juga mahu memastikan ajaran yang dibawa mereka selari dengan sunnah wal jamaah yang menjadi pegangan rakyat Malaysia, selain dilengkapi dengan ilmu lain seperti fekah, tauhid dan ilmu akademik," katanya.

Pendaftaran pusat tahfiz juga dapat mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku seperti kejadian di mana ada pusat tahfiz di sini didakwa memperoleh pendapatan melalui aktiviti 'busking' melibatkan pelajar.

"Jawatankuasa ini akan bermesyuarat pada November depan dan turut melibatkan pihak berkuasa kerana kita berharap dapat mewujudkan pegawai perhubungan daripada pihak polis di pusat-pusat tahfiz.

"Kita juga mengharapkan pusat tahfiz yang sudah berdaftar untuk membantu kita dalam urusan ini dengan memberikan penerangan yang tepat kepada pengusaha pusat tahfiz lain," katanya.

Abdul Zaki berkata, berdasarkan undang-undang sedia ada, terdapat peruntukan yang membolehkan pusat tahfiz tidak berdaftar ditamatkan operasi, namun seboleh-bolehnya tidak mahu tindakan itu dilakukan. - Bernama