KUANTAN - Anggota bomba mengambil tindakan segera membersihkan tumpahan merkuri yang berlaku di Klinik Kesihatan Ibu dan anak, Jalan Gambut di sini bagi mengelak bahan berbahaya itu memudaratkan kakitangan dan pesakit yang datang mendapatkan rawatan, kelmarin.

Kejadian jam 8 pagi itu disebabkan peralatan yang mengandungi bahan berbahaya dipercayai terjatuh ke lantai.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata,  susulan kejadian, bomba dihubungi pihak klinik berkenaan kira-kira jam 8.19 pagi sebelum lapan anggota diketuai seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan ke lokasi untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan.

“Operasi pembersihan mengambil masa kira-kira setengah jam dan sisa bahan itu berjaya dibersihkan sepenuhnya menggunakan serbuk tepung dan cecair pencuci.

“Dalam kejadian itu, tiada sebarang kecederaan atau gangguan kesihatan dialami kakitangan mahupun orang ramai,” katanya.

Kejadian tumpahan merkuri terbaru itu menjadikan tiga kes seumpamanya dilaporkan di negeri ini bagaimanapun semuanya tidak melibatkan sebarang kecederaan atau masalah kepada pihak terlibat.

Tahun lalu, tumpahan merkuri turut dilaporkan berlaku di Fakulti Perubatan Hospital Universiti Islam Antarabangsa (UIAM)  Indera Mahkota di sini selepas  termometer digunakan seorang petugas terjatuh dan pecah 30 Oktober 2016.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.