Kumpulan anti Lynas tarik sokongan orang ramai di Teluk Cempedak
Fuziah (kanan) bersama ahli SMSL memasak nasi goreng untuk diedarkan kepada orang ramai di Teluk Cempedak, semalam

KUANTAN - Menggunakan dana derma sebanyak RM1,000 yang dikutip hanya dalam masa 6 jam menerusi laman sosial Facebook, Kumpulan anti Lynas, Selamatkan Malaysia Hentikan Lynas (SMSL), mengedarkan makanan percuma kepada pengunjung pusat peranginan Teluk Cempedak, di sini, semalam.

SMSL bukan sekadar berkumpul dan melakukan demonstrasi aman, tetapi aktiviti berkenaan membawa mesej menolak Lynas demi kepentingan rakyat.

Presiden SMSL, Tan Bun Teet berkata, beberapa produk makanan Pantai Timur atau tempatan termasuk nasi goreng ikan masin, keropok lekor dan nasi lemak diedarkan kepada orang ramai.

Menurutnya, pengedaran makanan itu membawa mesej kesedaran kepada orang ramai terutama penduduk setempat mengenai kesan buruk Lynas kepada persekitaran termasuk pencemaran.

“Produk makanan seperti ikan masin dan keropok lekor adalah hasil dari laut yang hanya terdapat di Pantai Timur serta menjadi sumber rezeki
penduduk tempatan.

“Sekarang orang ramai bebas mendapatkan makanan seperti ini tanpa rasa waswas, tetapi pada masa akan datang apabila Lynas beroperasi sudah tentu makanan ini akan dicemari dan sudah tidak selamat lagi.

“Semua akan terjejas jika Lynas tetap diteruskan kerana tiada yang dapat membuktikan ia benar-benar selamat walaupun Lynas memberi jaminan,” katanya kepada media.
 
Bun Teet berkata, perkara itu melibatkan nyawa orang ramai dan SMSL menerusi pelbagai usaha menentang Lynas demi kepentingan ramai.

“Semua sedia maklum pada awalnya kilang Lynas ingin dibina di Terengganu tetapi pemimpin di sana menolaknya dan sekarang kenapa di Kuantan pula menjadi pilihan sedangkan isu keselamatan tidak jelas.
 
“Kita seru kepada rakyat dan semua pihak supaya mengambil berat tentang perkara ini dan kerajaan boleh menghentikannya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, bukan sekadar badan-badan bukan kerajaan (NGO) termasuk SMSL yang menentang Lynas, tetapi ia dibuktikan dengan komitmen rakyat.

“Memang projek itu tidak boleh diteruskan dan banyak pihak termasuk rakyat menunjukkan rasa tidak setuju.

 “Aktiviti ini adalah sebahagian daripada luahan rakyat yang tidak bersetuju dengan Lynas. Apa yang kita lakukan juga bukan secara kasar atau ganas tetapi aman,” katanya.

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.