KUANTAN - Pertubuhan Kuantan Prihatin (Kuantan Prihatin) Pahang melebarkan hubungan sosio kebajikannya dengan mendekati komuniti Orang Osli di daerah Kuantan.

Usaha itu digerakkan Ramadan lalu dengan menganjurkan program berbuka puasa dan menyampaikan pek makanan melalui Program Semarak Ramadan (PSR) Kuantan 2018.

Pengerusi Kuantan Prihatin, Fakhrul Anuar Zulkawi berkata, program itu dimulakan bersama komuniti Orang Asli di Batu 14 Jalan Gambang di sini tahun ini.

Menurutnya, ia mendapat kerjasama Surau al-Jauhari Kampung Orang Asli Batu 14, Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Kuantan, Pertubuhan Hidayah Centre Negeri Pahang dan Pertubuhan Ikram Kawasan Kuantan.

"Program ini bertujuan mengeratkan hubungan masyarakat Islam di Kuantan dengan komuniti Orang Asli di daerah ini khususnya dalam kalangan saudara baharu.

"Program melibatkan kerjasama agensi kerajaan dan NGO ini bertujuan  melaksanakan program pembangunan komuniti Orang Asli di daerah ini.

"Terdapat empat kawasan komuniti Orang Asli di Kuantan ini iaitu di Kampung  Batu 14 Jalan Gambang, Kgampung Alur Beruang Sungai Soi, Kampung Paya Bungor dan Kampung  Sungai Mas Sungai Lembing,"katanya.

Menurutnya, program yang sama  pernah diadakan tahun lalu  semasa PSR 2017 di Kampung Alur Beruang Sg Soi.

Katanya, program PSR 2018 melibatkan aktiviti tadarus, tahlil, sesi perkenalan, berbuka puasa, solat jemaah, penyampaian tazkirah dan sumbangan pek makanan kepada lebih 30 keluarga Islam.

"Pada masa sama, turut diadakan  tazkirah dalam menyampaikan mesej   agar kefahaman Islam dapat dimantapkan lagi dan menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup umat Islam,"katanya.

Sementara itu,  Pengerusi Surau Al-Jauhari Kampung Batu 14,  Rosdin Yaman berkata,  beliau menyambut baik  program seumpama itu  dan berharap program-program susulan termasuk tuisyen percuma untuk pelajar sekolah dapat diadakan.

Menurutnya, kampung itu dihuni kira-kira 50 keluarga Orang Asli yang majoritinya berketurunan Jakun.

"Surau kampung ini dibina sejak 2011 dan pihak Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) ada menjalankan kelas al-Quran dan fardu ain pada setiap petang Selasa dan Khamis.

"Bagaimanapun, cabaran penduduk Islam di sini ialah untuk memakmurkan solat berjemaah di surau ini setiap waktu. kita harap akan bertambah baik selepas berakhirnya tarbiah Ramadan sebelum ini,"katanya.

Bagi yang berminat menyertai program pembangunan komuniti Orang Asli ini boleh menghubungi Kuantan Prihatin di talian 014-5301536.