TEMERLOH - Pengalaman kira-kira lapan bulan berulang-alik ke hospital kerana penyakit anak mereka, pasangan suami isteri ini mengambil inisiatif membantu ibu bapa senasib dengan cara sendiri.

Mohamad Feisal Norawi, 36 dan Musazlila Mustapar, 36 memberi sumbangan  pelbagai barangan dan keperluan untuk kegunaan pesakit kanak-kanak di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas)Temerloh.

Sebelum ini kisah anak bongsunya Allahyarham Fahim Aqeed, pernah mendapat perhatian media dengan pelancaran tabung menampung kos pembedahan jantung berlubang yang dialami sejak lahir.

Bagaimanapun, Fahim yang juga mengalami Sindrom Down itu tidak sempat menjalani pembedahan kali kedua pada 18 Mei depan selepas meninggal dunia pada 24 Mac lalu akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Feisal yang juga bekas wartawan Sinar Harian di daerah ini bersama isterinya menggunakan wang sumbangan orang ramai sebelum ini membeli keperluan seperti lampin pakai buang, alat pemerah susu, tisu basah, losen bayi untuk kegunaan di unit terbabit.

Menurutnya pengalaman sepanjang tempoh terbabit dan turut merasai keperitan yang dialami terutama ibu bapa bayi dan kanak-kanak itu membuatkan dia dan isterinya ingin meringankan beban mereka.

"Saya tahu kerajaan sudah banyak membantu dengan pelbagai keperluan tetapi usaha ini sedikit sebanyak mengurangkan sedikit beban yang ditanggung ibu bapa terbabit.

“Saya dan isteri sangat terharu selama ini apabila masyarakat banyak membantu kami walaupun bukan nilai yang besar kesannya sangat dirasai dan dihargai. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada unit ini (NICU) dan Hoshas yang banyak membantu selama ini. Mereka terbaik.” katanya.

Menurutnya, usaha itu itu turut mendapat sokongan kuat rakan-rakannya.

Ujarnya, pemerah susu adalah peralatan yang diperlukan dan Feisal mengakui dia turut menerima maklum balas positif daripada rakan-rakannya.

“Bila saya memuat naik gambar di laman sosial, ramai yang hubungi dan berminat untuk turut sama membantu.

“Buat masa ini belum ada tubuhkan persatuan lagi tetapi saya alu-alukan mereka yang ingin turut membantu terutamanya barangan keperluan kanak-kanak di unit itu.

“Kami berhasrat untuk menyalurkan sumbangan sama secara berkala selepas ini,” katanya.