JERANTUT - Dua peniaga bazar Ramadan di dataran Majlis Daerah Jerantut, di sini, tidak dapat berniaga pada petang ini kerana khemah jualan mereka terbakar, sekitar jam 4.45 pagi tadi.

Dua peniaga terbabit, Mohd Rizal Husni Muda, 46, dan Zaharah Soha, 56, bagaimanapun bersyukur mereka tidak mengalami kerugian yang besar.

Bagaimanapun kedai Mohd Rizal Husni mengalami kerosakan lebih teruk berbanding Zaharah dengan anggaran kerugian sekitar RM500.

Mohd Rizal Husni berkata, dia mengetahui tentang kejadian itu sekitar jam 8 pagi setelah dimaklumkan oleh anak buahnya.

"Masa itu saya sedang basuh baju dan anak buah saya beritahu kedai di bazar terbakar. Saya terus tinggalkan kerja saya dan bergegas ke bazar.

"Sampai sahaja di sini (bazar) saya lihat api sudah terpadam sepenuhnya. Saya lihat peralatan seperti meja dan kerusi saya rosak teruj dan sudah tidak boleh digunakan selain gegantung turut terbakar," katanya.

Khemah yang disewa dan disediakan oleh pihak Majlid Daerah Jerantut dan dikongsi bersama Zaharah juga turut mengalami kerosakan.

Beliau yang pada asalnya menyangka kebakaran lebih teruk berlaku bagaimanapun bersyukur kerana ianya cuma melibatkan kebakaran kecil.

Mohd Rizal Husni yang baharu mula berniaga di bazar pada tahun ini setelah tidak berniaga di situ sejak 2014 menolak sebarang kemungkinan gerainya dikhianati orang memandang dia dan pekerja memiliki hubungan yang baik dengan peniaga-peniaga lain.

Mohd Rizal Husni yang menjual lauk pauk dan Roti John juga menolak kemungkinan api berpunca dari tempat membuat Roti John kerana tempat membuat Roti Johnnya itu langsung tidak terjejas dalam kebakaran itu.

Bagi Zaharah pula, selama lebih 20 tahun berniaga di bazar Ramadan, itulah kali pertama beliau mengalami keadaan sebgitu rupa.

Dalam pada itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Cawangan Penyiasatan Zon 2 Pahang, Mohd Arshad Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan dari orang awam pada jam 4.59 pagi.

Seramai lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut beserta sebuah jentera dikerahkan untuk memadam kebakaran.

"Anggota tiba dilokasi kejadian dan mendapati memang berlaku kebakaran. Api berjaya dikawal sepenuhnya sekitar 15 minit  kemudian," katanya memberitahu punca kebakaran masih lagi dalam siasatan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.