SEBUAH rumah papan yang letaknya di Kampung Galing Besar, di tepi Jalan Beserah di sini tidak asing lagi bagi penulis yang sering kali menggunakan laluan itu.

Rumah yang disangka kosong tanpa penghuni itu pada mulanya langsung tidak menarik minat penulis bahkan orang lain pun kerana ia sebuah rumah biasa, sama seperti rumah-rumah kampung lain cumanya berada dalam kawasan bandar.

Namun pandangan ‘kosong’ setiap kali memandang rumah itu kini berubah apabila hati mula terdetik untuk mendekati dan meninjau ‘isinya’ selepas mendapat tahu ada sesuatu yang bukan biasa-biasa di sebaliknya.

Rumah Klasik Kuantan itulah namanya... sebuah rumah kosong asalnya yang kini digunakan untuk menempatkan ratusan mungkin ribuan koleksi barang lama yang diuruskan enam rakan yang juga peminat barangan antik.

Rumah itu dibuka sejak Disember tahun lalu dan sudah pun dibuka kepada orang ramai namun tidak ramai yang tahu kewujudannya disebabkan masih kurang publisiti.

Sebenarnya Rumah Klasik Kuantan ini lebih berkonsepkan rumah kelab dan mungkin yang pertama seumpamanya di Kuantan mahupun Pahang.

Selain menjadi pusat sehenti kepada peminat barangan antik, Ia juga dibuka kepada orang ramai, namun buat masa sekarang operasinya masih bergantung kepada kelapangan petugas.

Fokus kepada dokumentasi

Bagi salah seorang petugas rumah itu, Faizal Izwa Nawi, 36, dan dan rakan-rakan, Ahmad Shirmi Tamsil, 31; Hairol Budiman Abu Bakar, 45; Muhd Khairudin Rusli, 30; Khairul Rusdi Abu Bakar, 42 dan Kamaruddin Abdul Rahman, 56 sudah lama berhasrat untuk membuka sebuah galeri.

Baginya, usaha yang dirancang sekian lama itu bukan sekadar mengumpul koleksi barangan lama tetapi fokus mereka lebih spesifik untuk mencari, mempamer dan mendokumentasi sesuatu yang ada kisah dan berhubung kait dengan sejarah Kuantan.

“Kadang-kadang ia milik persendirian yang tidak pernah didedahkan, ada pemilik atau pewaris tidak memahami nilai sentimentalnya sehinggakan koleksi diwarisi ada yang dibuang.

“Jadi rumah ini menjadi rumah kelab untuk menyatukan semua peminat, pengumpul atau penyimpan koleksi barang-barang lama ini untuk bersama-sama berkongsi ‘harta dan khazanah’ dalam milikan mereka untuk tatapan umum,” katanya.

Tambahnya, objektif mereka mencari, mengumpul dan pamerkan  barang lama yang ada kisah dan sejarahnya  serta  berkait dengan  Kuantan dan Pahang untuk dedah masyarakat melalui bahan-bahan lama yang ada nilai dan sentimental tersendiri.

“Buat masa sekarang, kita ada koleksi basikal lama, barangan elektronik, perabot, kamera, bahan bercetak, foto, barangan tembikar, pakaian, papan tanda, peralatan industri  dan bermacam-macam lagi.

“Kita juga wujudkan segmen sejarah Kuantan dengan beberapa koleksi asli yang tidak ternilai dan dapat menggambarkan sesebuah peristiwa bersejarah pada zamannya,” katanya.

Tidak bermotifkan keuntungan

Sementara itu, bagi Ahmad Shirmi Tamsil, 31, mereka dari pelbagai latar belakang merealisasikan penubuhan Rumah Klasik Kuantan atas asas minat sama terhadap barangan klasik.

Sebahagian besar koleksi yang ada adalah hasil koleksi peribadi, ada yang dibeli, disumbang, dikutip di tempat pembuangan sampah dan ada juga yang disumbangkan.

Katanya, mereka masih dalam proses mengumpul koleksi.

“Justeru kita mengalu-alukan orang ramai yang ada menyimpan koleksi peribadi supaya dapat berkongsi ‘harta’ mereka itu sama ada secara sukarela bawa untuk dipamerkan, dijual dan sebagainya supaya rumah ini menjadi sebuah galeri yang lengkap.

“Sekarang ni rumah ini menjadi pusat bagi Kelab Basikal Klasik Kuantan dan masih dalam proses mengumpul koleksi, kalau ada yang nak pamer pun dialu-alukan,” katanya.

Katanya, rumah itu bukan bermotifkan keuntungan biarpun sesetengah barangan yang ada sedia dijual kepada mereka yang berminat namun bagi mereka yang paling utama adalah kepuasan dan membantu mengangkat sejarah daerah ini.

“Justeru kita menyediakan khidmat sewaan barangan yang ada untuk majlis, sesi penggambaran dan rakaman video.

“Kita juga merancang untuk buka kafe di sini dan menyediakan makanan, kuih-muih tradisi untuk dinikmati pengunjung," katanya.

Bagi peminat dan pengumpul barangan antik, Lennie Low, 52, dia teruja apabila mendapat tahu tentang Rumah Klasik Kuantan.

Katanya, sebelum ini dia mengumpul koleksi barang lama secara peribadi selepas terdedah dengan hobi itu melalui datuknya.

“Sejak dulu lagi saya minat sebab barangan lama ini. Saya kerja di Singapura sering balik ke Kuantan dan bila dapat tahu tentang rumah ini saya seronok.

“Sekurang-kurang saya dapat kenal rakan-rakan yang mempunyai minat sama untuk berkongsi ilmu dan pengalaman,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Kira-kira 200 pesera telah menyertai program Kayuhan Santai Basikal Klasik Klang Heritage oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK), di Klang, baru-baru ini.
  • GUA MUSANG - Konvoi 30 buah motosikal klasik Street Cub Kelantan selama tiga hari dari Kota Bharu ke Cameron Highlands, Pahang berakhir kelmarin contoh terbaik kepada belia-belia seluruh negeri ini.
  • KUALA KRAI - Siapa menyangka hobi baharu seorang penduduk di Telekong, di sini akhirnya bukan sekadar memberi kepuasan buat dirinya, malah berjaya membentuk sebuah kelab yang dapat menyumbang kepada aktiviti sosial dan kebajikan untuk masyarakat.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.