KUANTAN - Seorang pemandu maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya dipercayai terbabas ketika melalui laluan berbukit sebelum terjunam  ke dalam sungai di jalan sebuah ladang kelapa sawit, Jalan Kuantan-Maran di sini, petang kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, Soo Kim Choy, 49, beralamat di Taman Thivy Jaya, Seremban, Negeri Sembilan dipercayai terperangkap dalam kenderaan tersebut dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Pahang, Superintendan Mohd Noor Yusof Ali berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, kemalangan berlaku ketika mangsa yang memandu kenderaan jenis Toyota Hilux dalam perjalanan dari arah sebuah ladang sawit menghala ke pekan Sri Jaya, Maran.

Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya ketika menuruni laluan berbukit dan berselekoh lalu terbabas dan terjunam ke dalam sungai.

“Akibat kejadian, mangsa dipercayai terperangkap dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dikeluarkan dengan bantuan pekerja ladang.

“Kemalangan yang berlaku di lokasi kira-kira 28 kilometer dari jalan utama Kuantan-Maran itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, pihak bomba yang menerima panggilan kecemasan jam 3.14 petang berhubung kejadian mengerahkan enam anggota dari Balai Bomba Taman Tas ke lokasi bagi mengerakkan operasi menyelamat.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya tiba ke lokasi jam 4.30 petang dan mendapati kenderaan tersebut yang hampir tenggelam ditarik naik ke tebing menggunakan jengkaut oleh pihak ladang.

Katanya, mangsa juga sudah dikeluarkan bagaimanapun pihaknya melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada mangsa lain yang terperangkap.