PEKAN - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyifatkan harga durian yang melambung di pasaran adalah disebabkan permintaan tinggi terhadap raja buah berkenaan.

Justeru, kerajaan menyediakan pelbagai insentif dan subsidi bagi menstabilkan harga durian di pasaran tempatan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, permintaan tinggi berbanding bekalan durian yang ada mengakibatkan harga Raja Buah itu sedikit tinggi berbanding tahun lalu.

Menurutnya, kementerian tidak boleh menetapkan harga syiling bagi buah durian.

“Kita akui harga durian memang mahal di pasaran tempatan dan ia berpunca kekurangan bekalan.

“Kebanyakan durian tempatan dijual di negara seperti China dan Singapura malah harga bagi durian jenis Musang King mampu mencecah RM140 sekilogram. Secara tidak langsung banyak membantu pekebun memperoleh pendapatan lumayan,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Gelombang Tani Nasional 2017, semalam.

Turut hadir, Adun Peramu Jaya, Datuk Seri Sh Mohamed Fuzi Sh Ali; Pegawai Daerah Pekan, Datuk Ali Syahbana Sabaruddin dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian, Badrul Hisham Mohd.

Tajuddin berkata, kementerian boleh mengawal harga untuk pasaran tempatan dengan memberikan subsidi serta insentif kepada pekebun untuk menanam lebih banyak pokok durian dan apabila banyak bekalan, pasti harganya kembali stabil.

Dalam pada itu, Tajuddin mahu golongan petani, nelayan dan penternak lebih proaktif dalam merebut peluang menjana pendapatan yang lebih tinggi melalui pelbagai bantuan disediakan kerajaan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Warga Kumpulan Media Karangkraf hari ini dikejutkan dengan buah durian yang didatangkan khas dari Kampung Gajah, Perak oleh Kompleks Desa Warisan Igrow (Igrow).
  • GEORGE TOWN - Harga durian dari Balik Pulau dan Sungai Ara kekal selain bekalan berkurangan berikutan hujan lebat dan ribut yang melanda negeri ini September lalu.
  • BANDAR JENGKA - Sambutan menggalakkan dari penduduk Jengka sehingga jualan durian mencecah 600 kilogram sehari mencetus idea kepada seorang penjual di sini, untuk menganjurkan pesta durian 'makan sampai kenyang' pada harga bermula RM10 - RM18 seorang mengikut umur.
  • IPOH - Kerajaan negeri menggalakkan golongan petani dan peladang di negeri ini menanam durian berkualiti berikutan permintaannya yang tinggi dalam pasaran.
  • KAMPUNG GAJAH - Siapa sangka, banjir besar yang berlaku pada 2014 lalu membawa rezeki lumayan kepada pemilik dusun dan penjual durian di tempat ini.