MENGIMBAU detik cemas diculik, Mohd Ridzuan berkata, ketika kejadian dia sedang tidur di dalam kapal sebelum didatangi beberapa individu yang menutup muka dan kepala.

Katanya, kumpulan penculik mengacukan senapang di kepalanya dan mengarahkan dia naik perahu, sementara rakan-rakan lain menaiki bot laju.

Menurutnya, hanya dia tebusan dalam perahu terbabit, manakala individu lain dilihat memegang senapang.

“Dari jam 8 malam saya dalam sampan hingga sampai ke pulau lebih kurang jam 5 pagi. Saya diberi makanan alas perut dan naik perahu lagi menuju pulau lain.

Memang saya tak dapat cam ke mana saya dibawa,” katanya. Mohd Ridzuan berkata, dia ditugaskan memasak dan menyediakan makanan untuk ahli kumpulan Abu Sayyaf ketika di dalam hutan dan turut diugut akan dipotong kepala sekiranya cuba lari atau ingkar perintah.

“Tak pernah fikir untuk lari sebab kami dalam hutan dan dah pindah-randah berpuluh-puluh kali, jadi tak fikir akan selamat kalau larikan diri. Satu sahaja yang buat saya rasa tenteram apabila kami dibenarkan solat.

“Dalam tempoh tiga ke empat bulan diculik, mereka berkawal tak terlalu ketat apabila mahu solat. Malah saya pernah jadi imam kepada beberapa ahli kumpulan itu yang ikut bersolat.

“Cuma apabila mereka berperang, masing-masing kena pandai-pandai selamatkan diri sendiri sebab mereka biarkan sahaja tawanan tanpa senjata, tanpa perlindungan,” katanya. Lelaki itu berkata, saat paling menyedihkan ialah apabila mereka berlima merindui keluarga menjelang Hari  Raya Aidiladha tahun lalu.

Katanya, dia terlalu rindukan isterinya dan anak-anak serta sebak memikirkan nasib mereka.

“Makan apa... dapat duit dari mana. Siapa jaga mereka. Semua itu buat saya menangis.

“Saya dan kawan-kawan mengelamun dalam dunia sendiri. Saya duduk bawah pokok sambil menangis. Sekarang pun saya masih trauma sebab jika terjaga dari tidur saya pandang sekeliling. Takut buka mata ada dalam hutan lagi,” katanya.

Menurutnya, berat badannya susut daripada 85 kilogram kepada 54 kilogram hingga anak keduanya hampir tidak mengenalinya ketika pertama kali bertemu di Hospital Selayang.

Dalam pada itu, Mohd Ridzuan memohon bantuan kerusi khas untuk anaknya, Noridawati yang merupakan OKU.

Sementara itu, Hariyanti berkata, dia juga masih trauma dengan tragedi menimpa mereka sekeluarga, malah tidak mahu lagi suaminya bekerja di laut.

“Suami beritahu dia minat lagi kerja kapal tapi saya tak bagi. Saya tak mahu dah lalui perkara sama. Cukuplah saya tunggu kepulangan dia selama lapan bulan.

“Saya hidup seperti mati. Setiap hari bertemankan air mata. Saya tak mahu kehilangan suami lagi dan hanya ALLAH tahu penderitaan saya. Dalam tempoh itu, jauh di dalam hati saya yakin suami masih hidup,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GOMBAK - Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun hampir diculik di Taman Selaseh Fasa 2, di sini, sewaktu pulang dari sekolah agama Rabu lalu.
  • IPOH - Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang dipercayai mangsa culik ditemukan mati di sebuah rumah di Regat Tasek Jaya Tiga, Taman Tasek Jaya di sini, malam tadi.
  • IPOH - Polis Perak berjaya menyelesaikan kes culik seorang remaja berusia 17 tahun dan mendapatkan kembali wang tebusan RM175,400 di dua serbuan berbeza di Pulau Pinang dan Johor, 5 September lalu.
  • SERI ISKANDAR - Penduduk di sekitar Seri Iskandar, gempar apabila tular dalam aplikasi WhatsApp mendakwa terdapat dua murid sebuah sekolah rendah di sini hampir diculik oleh penjenayah yang menaiki van putih.
  • KUALA KRAI - Tiga beranak berdepan detik cemas setelah kereta dinaiki dilarikan penjenayah di sebuah stesen minyak di Batu Jong,kira-kira jam 10.30 malam, semalam.