KUANTAN -  Peniaga di daerah ini masih lagi mengekalkan harga gula RM2.84 sekilogram (kg) meskipun barangan komoditi itu telah meningkat sebanyak 11 sen.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi iaitu di sekitar Beserah, Sungai Karang dan Sungai Isap mendapati harga lama masih dikekalkan di semua kedai runcit di kawasan terbabit.

Seorang peniaga di Beserah, Ng Hock Seng, 53, berkata, harga lama masih dikekalkan memandangkan bekalan gula sebelum ini masih belum dihabiskan.

Menurutnya, gula tidak boleh dinaikkan harga sewenang-wenangnya oleh peniaga meskipun harga baharu telah berkuat kuasa semalam.

“Bekalan gula di kedai saya semua harga lama. Jadi mana boleh saya terus naikkan harga sesuka hati.

“Kita kena ikut arahan daripada pihak berkuasa. Kadar gula baru akan berkuat kuasa bila saya dapat bekalan gula yang baru,” katanya ketika ditemui di kedainya di Jalan Beserah di sini, semalam.

Katanya, walaupun bekalan barangan komoditi itu masih banyak di kedainya, dia tidak mahu mengambil kesempatan untuk mengenakan kenaikan pada barangan terbabit.

Hock Seng berkata, dia amat memahami situasi hidup masyarakat pada hari ini, namun kenaikan harga barang terpaksa dilakukan sejurus dia mengambil bekalan baharu nanti.

“Bila gula sedia ada ni dah habis dan masuk bekalan baru, saya akan kenakan harga yang ditetapkan iaitu RM2.95 kg,” katanya.

Katanya, kenaikan harga gula berlaku peningkatan empat peratus sejak penyelarasan harga terakhir pada 2013.

“Sepanjang saya berniaga ini kenaikan kali ketiga,” katanya.

Bagi peniaga di Sungai Karang pula, Abu Bakar Mohamad, 47, mengakui penjualan barangan komoditi itu masih pada harga lama.

Katanya, harga RM2.84 sen dikekalkan memandangkan bekalan lama masih ada.

“Kita habiskan dulu bekalan yang sedia ada.. jual pada harga lama. Bila dah habis semua bekalan ini baru kita jual harga baru.

“Kita tak mahu pelanggan terkejut dengan harga baru ini. Jadi masa mereka (pelanggan) datang beli, saya akan bagi tahu harga gula dah naik,” katanya.

Seorang lagi peniaga di Sungai Isap, Borhan Ismail, 55, berkata, gula masih dijual pada harga lama.

Bagaimanapun katanya, sekiranya bekalan gula baharu sampai, dia akan mengenakan harga yang ditetapkan.

“Lepas ini, kita akan jual gula pada harga RM2.95,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.