KUANTAN - Seiring dengan matlamat membawa kehidupan lebih baik, Syarikat pengeluar barangan kelengkapan rumah, LG Electronics (Malaysia) Sdn Bhd terus mengorak langkah ke hadapan melalui pembukaan kedai jenama LG di Emart Kuantan di sini.

Pembukaan itu merupakan kerjasama pertama dengan kedai Emart di sini dan keempat di seluruh negara termasuk dua di Johor dan satu di Sabah.

Kedai jenama LG di Emart Kuantan mempamerkan dan menjual produk hiburan dan perkakasan rumah terkini keluaran mereka termasuk televisyen OLED, Nano Cell Super UHD selain produk premium antaranya peti sejuk, mesin basuh.

Pengarah Urusan LG Electronics (M) Sdn Bhd, Kim Kyu Tae berkata, LG sentiasa mengutamakan dan mengambil kira kepuasan pengguna bagi setiap produk dihasilkan syarikat mereka.

Menurutnya, sebagai tanda menghargai  sokongan pelanggan, LG mengambil langkah memperluaskan pasaran produk mereka ke pantai timur  melalui pembukaan kedai dengan kerjasama dengan E Mart Kuantan.

“Kami berbesar hati kerana berupaya memberi khidmat terbaik kepada pelanggan kerana kami faham mereka memerlukan produk berkualiti untuk keperluan diri dan keluarga.

“Produk dipamerkan di sini dibangunkan dengan inovasi terkini melalui teknologi pintar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran kedai jenama LG di Emart Kuantan di Jalan Penjara di sini, semalam.

Turut hadir Pengurus Besar (jualan) Patrick Seow, Pengurus Besar (Pemasaran) Kong Mun Keen, Ketua Cawangan Johor Bahru, Justin Chua.

Hadir sama, Pengarah Urusan Emart, Lim Kean Huat, Pengurus Besar, Frankie Lau dan Pengurus Operasi Outlet, Lim Kim An.

Kim Kyu Tae berkata, syarikatnya menyasarkan 30 kedai rakan niaga menjelang akhir tahun ini berbanding 27 cawangan sedia ada.

“Jenama kami sudah mempunyai beberapa rakan niaga di Lembah Klang dan kini akan tertumpu kepada bandar-bandar lain termasuk di kawasan Pantai Timur.

“Di Kuantan ini merupakan kerjasama pertama dengan kedai E Mart,” katanya.

Beliau berkata, LG juga mempunyai cawangan kedai rakan niaganya di Kota Bharu dan merancang membuka lebih banyak cawangan syarikat tersebut di Pantai Timur.

“Kami melihat potensi besar kepada syarikat di Pantai Timur dan kami akan terus menambah cawangan termasuk di Kuala Terengganu tahun ini,” jelasnya.

Sementara itu, Kong Mun Kee berkata, jualan syarikat mencatatkan peningkatan terutamanya membabitkan televisyen, peti sejuk dan mesin basuh selepas cukai barang dan perkhidmatan (GST) dimansuhkan.

Pada masa sama katanya, kenaikan harga mungkin tidak berlaku apabila Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan namun jika berlaku, hanya pada paras minimum.