KUANTAN - Kerajaan Pahang diminta kaji semula aktiviti penebangan balak di hulu Sungai Lembing, bagi mengelak banjir.

Adun Semambu, Lee Chean Chung berkata, ini kerana aktiviti tersebut menyebabkan kawasan tadahan air menjadi semakin cetek sehingga mengundang musibah itu.

“Kita minta kerajaan kaji semula aktiviti itu (balak) untuk pastikan kawasan tadahan air dan hutan simpan terjaga dengan baik.

“Jika tidak ada 'retention' atau takungan air akan menjadi laju dan mudah untuk banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media penubuhan Jawatankuasa Khas untuk menghadapi banjir pada musim tengkujuh di pejabatnya, semalam.

Selain itu, Chean Chung berkata, kerja-kerja pembersihan sistem perparitan sudah dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) walaupun peruntukan terhad.

Katanya, surat kepada Majlis Perbandaran Kuantan telah diberikan bagi membolehkan kerja pembersihan longkang seliaan mereka dilaksanakan.

“Kita dah minta pihak MPK menjalankan kerja pembersihan di beberapa kawasan seperti di Taman Setali, Taman Shahzan dan sebahagian Bukit Setongkol.Menjaga kebersihan parit adalah tanggungjawab semua,” katanya.

Menyentuh penubuhan jawatankuasa khas banjir, Chean Chung berkata, tujuan penubuhan jawatankuasa itu adalah untuk  menyalurkan maklumat kepada penduduk di kawasan berisiko tinggi berlakunya banjir seperti di Cenderawasih, Kampung Tiram, Taman Impianku dan Bukit Setongkol.

Justeru katanya, pihaknya sudah mendapat satu tempat untuk dijadikan bilik operasi di Jalan Semambu.

“Kita akan aktifkan bilik operasi ini bila sudah ada isyarat banjir.,” katanya.