shahrizat
$entry.content.caption.value

CAMERON HIGHLANDS - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1.4 bilion tahun ini untuk membantu 500,000 kumpulan sasar di negara ini melalui Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Kar1sma).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, jumlah berkenaan diperuntukkan menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kesihatan dan agensi lain untuk membantu rak-yat miskin termasuk Orang Asli.

“Peruntukan membabitkan jumlah semakin besar setiap tahun menzahirkan iltizam Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membantu penduduk miskin agar lebih selesa menerusi peranan, bimbingan dalam bidang keusahawanan dan pengisian kebajikan menerusi kewangan agar mereka hidup selesa.

“Menerusi Kar1sma ini, Kerajaan Persekutuan menitikberatkan aspek penjagaan kesihatan dan pembangunan keluarga sejahtera menerusi program dilaksanakan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran projek subsidi Mamogram percuma LPPKN bagi saringan Kanser Payu Dara kepada wanita Orang Asli di Kampung Leryar, Pos Menson di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk S K Devamany; Ketua Pengarah LPPKN, Datuk Aminah Abdul Rahman dan Tok Batin Sungai Ruil/Leryar, A Kadir.

Menurutnya, golongan yang menerima bantuan melalui program Kar1sma antaranya, orang kurang upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal dan kanak-kanak.

“Kerajaan Persekutuan melalui JKM memperuntukkan RM1.2 bilion tahun ini untuk disalurkan kepada 500,000 kumpulan sasar di seluruh negara menerusi bantuan bulanan kewangan di bawah Program Karisma,” katanya.

Shahrizat berkata, JKM telah memberi bantuan bulanan bernilai RM120,230 kepada seramai 102 orang penduduk Orang Asli miskin di Pos Menson dan Kampung Leryar mulai tahun ini, iaitu membabitkan peruntukan sebanyak RM1.4 juta setahun.

“Program Kar1sma ini menterjemahkan keprihatinan Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membantu kumpulan sasar berdikari menerusi bantuan kebajikan dan keusahawanan agar mereka bebas daripada kepompong miskin tegar.

“Selain itu, terdapat program lain, iaitu program Azam (Akhiri Zaman Miskin) yang diwujudkan kementerian berkenaan untuk memacu kumpulan sasar meningkatkan taraf hidup mereka dalam bidang keusahawanan.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.