TEMERLOH - Kampung Batu Kapor bukan satu nama yang asing di daerah ini.

Kampung yang terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Batu Kapor Atas, Batu Kapor Bawah dan Batu Kapor Sekolah ini memiliki keunikan tersendiri.

Terkenal kerana menjadi perkampungan etnik Kampar (Kampau) terbesar di Pahang amnya dan negara ini khasnya, kampung berkenaan mula diteroka sebelum zaman penjajahan Jepun oleh etnik tersebut yang berasal dari Riau, Sumatera.

Selain di daerah ini, orang-orang Kampar juga dikesan menetap di Kuantan, Lipis, Kuala Krau, Jerantut Feri selain di Selangor dan Perak.

Antara individu terkenal berketurunan Kampar adalah penyanyi nombor satu tahun 1980-an, Allahyarham Sudirman Arshad dan pengarah filem, U-Wei Shaari.

Tiga lokasi itu juga dikelilingi Sungai Semantan yang menjadi sumber air utama selain Sungai Pahang di daerah ini.

Arus pembangunan dengan deretan kedai dan premis perniagaan turut dinikmati kampung tersebut.

Jadi tidak hairanlah kampung tersebut turut mengalami banjir setiap tahun.

Keunikan kampung ini adalah budaya dan dialek Kampar menjadi identiti sejak sekian lama yang dibawa nenek moyang berasal dari sana.

Dialek penduduk kampung tersebut turut mempunyai persamaan dengan Minangkabau walaupun ada beberapa istilah dan sebutannya agak berbeza.

Nama Batu Kapor dipercayai terdapat kawasan batu kapor berhampiran kawasan itu suatu ketika dahulu.

Kepesatan turut meningkatkan populasi dan sehingga kininya kira-kira 2,150  penduduk membabitkan 300 keluarga.

Kampung Batu Kapor pernah memiliki sawah padi sebagai sumber pencarian rezeki namun kini hanya tinggal sejarah.

Generasi kini hanya boleh melihat tapak sawah yang  berubah sebagai paya dan daratan.

Menurut warga emas, Maryah Mausin, 87, nama kampung itu diambil berikutan banyak sumber batu kapur di situ.

Menurutnya, dia dan arwah suaminya antara penduduk terawal meneroka kampung tersebut.

Menceritakan keadaan ketika itu, kampung tersebut dipenuhi semak samun dan hutan manakala perniagaan serta bercucuk tanam antara sumber rezeki utama mereka.

Bekas bidan yang juga nenek kepada 15 cucu dan 14 cicit ini pernah merasai derita ketika zaman Jepun malah masih boleh mengingati keadaan ketika itu.

“Sekarang keadaan dah banyak berubah. Tidak seperti dulu. Sekarang kampung dah makin banyak kemudahan,”katanya.

Sementara itu,Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Robiahtun Aadawiyah Mansor memberitahu, kampung tersebut tidak ketinggalan dalam arus pembangunan dan mula menerima kemajuan dalam tempoh beberapa tahun ini.

Selain memiliki Sekolah Kebangsaan Batu Kapor, kampung itu lengkap bekalan elektrik, air serta infrastruktur.

Kini dengan kepesatan arus kemodenan  kebanyakan penduduk terutama generasi baharu lebih banyak berhijrah  untuk mencari rezeki.