KUANTAN - Kegiatan penipuan menggunakan modus operandi tawaran hadiah cabutan bertuah dipercayai didalangi satu sindiket  dikesan bergerak secara terbuka dengan menjadikan pengunjung sebuah pasar raya di Kuala  Lipis sebagai sasaran.

Antara yang menjadi mangsa, seorang peniaga wanita berusia 53 tahun apabila kerugian lebih RM9,000 selepas membuat cabutan dan kononnya memenangi hadiah wang tunai RM9,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa ke pasar raya berkenaan 27 Julai lalu sebelum didatangi seorang wanita tidak dikenali dan memintanya membuat cabutan.

Menurutnya, mangsa membuat cabutan dan kadnya dikatakan menang hadiah wang tunai.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke sebuah bilik hotel berdekatan untuk urusan selanjutnya sebelum dibenarkan menuntut hadiah yang dimenangi.

"Mangsa dibawa membawa seorang wanita yang menunggu dalam bilik berkenaan sebelum dimaklumkan kad cabutannya menang hadiah wang tunai RM9,000.

"Mangsa diminta membayar RM3,000 sekiranya berminat dengan RM9,000 yang dimenanginya itu dan dia bersetuju sebelum membuat bayaran pendahuluan RM500," katanya.

Selang beberapa hari kemudian, mangsa dihubungi seorang wanita memperkenalkan diri sebagai Maya berkaitan hadiah itu.

"Mangsa dimaklumkan, mangsa menjadi pemenang bertuah apabila berpeluang sama ada memilih wang yang dimenangi atau sebuah kereta.

"Mangsa memilih untuk hadiah kereta sebelum menjelaskan bayaran yang diminta melalui lima transaksi pembayaran kepada sebuah akaun bank atas nama seorang lelaki membabit jumlah bayaran keseluruhan RM9,100," katanya.

Menurutnya, urusan itu belum selesai apabila selang beberapa hari, mangsa dihubungi dan diminta menjelaskan RM5,000 sebagai cukai pendapatan.

"Mangsa bagaimanapun tidak meneruskan pembayaran yang diminta selepas menyedari bayaran yang dibuat sudah melebih jumlah hadiah wang tunai yang dimenanginya.

"Mangsa yang menyedari ditipu kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis, semalam.

"Polis membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.