JANDA BAIK - Penduduk menggesa agar kerajaan mengkaji semula laluan projek fasa tiga menara talian elektrik syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Hutan Simpan Lentang berhampiran Janda Baik kerana dikhuatiri akan menjejaskan pelbagai khazanah alam dan penduduk kawasan sekitar.

Projek pembukaan jalan dan pembalakan bagi tujuan projek melibatkan kawasan seluas 99.85 hektar bermula dari kawasan Bentong Selatan ke Lenggeng, Negeri Sembilan itu turut dikhuatiri akan mencemar lima sungai utama yang membekal air bersih kepada penduduk kampung Janda Baik dan kawasan sekitar.

Timbalan Pengerusi Penaja Persatuan Pengusaha Penginapan dan Eko Pelancongan Janda Baik, Jafri Jais, 53, berkata, kegiatan yang telah berlarutan sejak tiga bulan lepas itu menyebabkan Sungai Benus menjadi keruh umpama ‘teh susu’ apabila hujan dan akan turut terkena empat sungai lain.

“Kami tak pernah bantah projek pembangunan untuk rakyat, tapi yang kami persoalkan kenapa mesti melalui hulu sungai di Hutan Simpan Lentang berhampiran dengan Janda Baik yang rata-rata penduduknya bergantung dengan sumber ekonomi pelancongan berasaskan ekopelancongan.

“Jika projek ini diteruskan, sudah pasti ia akan menjejaskan sungai dan alam sekitar yang mana ia merupakan aset utama tarikan pelancong yang datang ke kawasan pelancongan tanah tinggi ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di blokade bantahan penduduk kampung di Hulu Sungai Benus, di sini, semalam

Jafri berkata, penduduk kampung juga telah melakukan bantahan dua kali iaitu pada 2014 dan 11 Oktober tahun lepas selain turut menghantar surat bantahan kepada pihak terlibat termasuk TNB, Jabatan Perhutanan Pahang, Pejabat Menteri Besar Pahang dan Jabatan Alam Sekitar.

Menurutnya, hasil bantahan dilakukan, penduduk kampung telah dipanggil untuk mengadakan dialog bersama TNB bagi membincangkan hal tersebut dan hasilnya pihak kontraktor telah diarah mengeluarkan lima jentera berat untuk tujuan pembalakan di kawasan itu.

“Kesemua kenderaan itu dibawa keluar pada hari ini dan disambut dengan perasaan gembira oleh penduduk kampung walaupun setakat ini masih belum ada jaminan daripada pihak berkenaan bahawa jajaran di kawasan itu akan dikaji semula,”

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Bantahan Penduduk Kampung, Mohd Rosli NorrRashid, 50, berkata, pembalakan daripada pelaksanaan fasa satu dan dua projek menara talian elektrik itu dari Hulu Sembah sehingga ke Tanah Kelompok Kampung Janda Baik terbukti telah meninggal kesan buruk kepada alam sekitar.

“Walaupun dinafikan tapi kita tahu sedikit sebanyak kejadian tanah runtuh di Lebuh Raya Karak berhampiran Hutan Simpan Lentang pada 11 Nov 2015 adalah berpunca daripada aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan.

“Kita tak mahu kejadian itu berulang dan menimpa pula penduduk Janda Baik,” katanya.

Seorang lagi penduduk kampung, Mohamad Yusabanan Yusof, 41, turut kesal dengan sikap pihak berkuasa yang gagal melakukan pemantauan menyebabkan pihak kontraktor terlibat tersasar dari laluan ditetapkan dan membuka laluan haram di kawasan mempunyai balak bermutu tinggi.

“Malah pembukaan laluan itu juga akan memberi peluang untuk pembalak haram meneroka serta mencuri hasil-hasil hutan yang banyak terdapat di sini termasuk kayu cengal, meranti, dan tanaman herba," katanya.

TNB dilaporkan melaksanakan dua buah projek infrastruktur, iaitu talian penghantaran 500kV dari Bentong South ke Lenggeng dan juga talian 275kV dari Bentong South ke Ampang East yang melalui kawasan Hutan Lipur Lentang, Pahang.  

Apabila projek ini siap pada tahun ini, rangkaian talian penghantaran itu akan menjadi sebahagian daripada Sistem Grid Nasional.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.