• Kaji kenaikan gaji guru Kafa Othman (dua kiri) diiringi Ghazali (kiri) menyampaikan sijil kepada wakil peserta Ijtimak Penyelia Kafa Peringkat Kebangsaan 2013 di Hotel Permai, Kuala Terengganu.
1 /

KUALA TERENGGANU- Kerajaan kini sedang meneliti kenaikan dan kedudukan gaji guru Kafa.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, sekarang ini guru Kafa berasaskan gred 17, sudah sampai masanya untuk dinaikkan dan diberi garis panduan asal bagi mereka yang melebihi 13 tahun.

"Kita sentiasa melihat kebajikan guru Kafa ini, kalau dulu dari segi elaunnya kita tambah, sekarang ini kerajaan sudah bersetuju untuk menambah lagi elaun perjalanan mereka.

“Kalau kita lihat kakitangan kita di Sabah dan Sarawak, perjalanannya susah, naik bot, meniti tiang balak, itu harus kita ambil kira,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Ijtimak Penyelia Kafa Peringkat Kebangsaan 2013 di Hotel Permai, di sini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib.

Othman berkata, kerajaan memperuntukkan RM354 juta bagi program Kafa dan RM5 juta bagi program latihan Kafa sepanjang 2013.

Menurutnya, peruntukan yang besar itu dibuat bagi menyediakan pendidikan Islam di peringkat rendah yang lebih berkualiti.

"Menyedari program Kafa mempunyai sumbangan dan berperanan besar ke arah itu, kerajaan melalui Jakim tanpa ragu-ragu menyediakan bajet tahunan yang sentiasa meningkat setiap tahun sehingga mencecah hampir 50
peratus daripada peruntukan kewangan tahunan Jakim.

“Bagi merealisasikannya, kita mencari pendekatan tambahan untuk meningkatkan lagi keupayaan dan kemampuan kita. Selain program pembangunan, kita juga mengadakan Ijtimak, yang mana kita menyemak, menilai dan
mengukur sejauh mana prestasi pencapaian kita dalam melaksanakan program Kafa," katanya.

Katanya, ia secara tidak langsung memberi peluang kepada Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri untuk berinteraksi dan berkongsi idea dengan semua penyelia Kafa yang bertanggungjawab secara langsung dalam bidang pendidikan Islam khususnya program Kafa.

“Saya percaya ia adalah salah satu cara terbaik untuk berbincang dan mencari idea untuk meningkatkan lagi mutu pengajaran dan pembelajaran yang telah dilaksanakan selama ini,” katanya.

Setakat ini katanya, terdapat 37,945 kelas Kafa di seluruh negara, dengan jumlah bilangan guru seramai 32,766 orang dan murid Kafa seramai 937,958 orang.