JERANTUT – Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menyarankan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengkaji  kembali cadangan penggunaan telefon bimbit atau alat peranti di sekolah bagi  tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Presidennya, Jasni Md Kechik berkata, kajian menyeluruh perlu  jika gajet tersebut dibenarkan  di sekolah kerana mungkin akan disalahgunakan.

“Dari sudut pengajaran dan pembelajaran memang baik tetapi dibimbangkan menimbulkan perkara luar jangka dan boleh menrencatkan penggunaan.

“Selain itu, kurang prasarana yang cukup, bukan sahaja alat peranti tetapi  perisian pengajaran perlu lengkap dan sesuai dengan persekitaran pembelajaran serta selari dengan hasrat kurikulum dan keperluan semasa,” katanya.

Ujarnya, tindakan kerajaan Perancis yang memansuhkan penggunaan peranti tersebut di sekolah mulai September ini menjadi contoh kerana mendapati banyak kesan buruk seperti kurang tumpuan dalam kelas, buli dan melayari internet yang tidak sewajarnya.

“Kalau negara maju memansuhkan penggunaan alat peranti itu, sudah pasti mereka membuat kajian terperinci.

“Peranti atau telefon bimbit boleh melekakan pelajar dan melayari internet sesuka hati kalau tidak dikawal dengan betul serta boleh menghubungi sesiapa saja kerana tiada siapa memantau apa yang mereka lakukan,” katanya.

Tambahnya, penggunaan telefon bimbit akan membazirkan wang kerana bil setiap bulan yang sepatutnya boleh digunakan untuk perkara lain.

“Kita meminta KPM mengkaji secara menyeluruh  berdasarkan perjalanan pelajaran secara komprehensif,” katanya.

Menurutnya, seharusnya setiap sekolah perlu ada satu bilik telefon khas untuk pelajar membuat panggilan kecemasan kepada ibu bapa mereka bagi menggelakkan  penggunaan telefon bimbit di sekolah.