PAKATAN Harapan (Harapan) Rompin memilih Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah ini sebagai agensi kerajaan pertama dilawati selepas PRU14.

Pengerusinya, Mohd Fadzli Mohd Ramly, berkata, kunjungan hormat pertama itu dilakukan bagi menjalin hubungan baik dengan agensi berkenaan.

Menurutnya, pemilihan jabatan itu sebagai agensi pertama dilawati disebabkan ia menjaga hal kebajikan yang sudah tentu selaras dengan perjuangan utama parti.

“Umum tahu kini Harapan telah menang dan membentuk kabinet di Persekutuan, jadi kunjungan hormat ini bakal memudahkan sebarang urusan selepas ini.

“Kami pilih Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai yang pertama kerana ia melibatkan hal kebajikan yang menjadi teras utama perjuangan parti selama ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Mohd Fadzli berkata, hasil kunjungan itu pihaknya turut memperoleh banyak input dan maklumat berguna yang bakal melancarkan sebarang kerjasama pada masa akan datang.

Katanya, pihak JKM Rompin turut memberikan kerjasama sekali gus menunjukkan permulaan yang baik antara kedua pihak.

“Kerjasama yang terjalin ini insya-ALLAH bakal memudahkan segala bantuan kepada rakyat dapat disalurkan sebaiknya secara saksama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga sedang merancang untuk melakukan kunjungan hormat ke agensi atau jabatan kerajaan lain.

“Kita sedang mengatur dan selepas ini ada beberapa jabatan atau agensi kerajaan lain yang akan dikunjungi, tujuan utama hanyalah demi rakyat,” katanya.