KUANTAN - Tiada sebarang tangkapan dalam Operasi Bersepadu Pengemis/Kutu Rayau peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuantan di beberapa lokasi di bandar ini dan cuaca turut menjadi faktor situasi tersebut.

Pegawai Kebajikan Daerah, Salihah Kamarudin berkata, operasi tersebut melibatkan 68 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) selain JKM.

Beberapa bazar menjadi lokasi tumpuan dalam operasi tersebut antaranya Jaya Gading, Taman Kerang dan pekarangan Stadium Makmur.

Menurutnya, operasi bersepadu itu adalah kali pertama dijalankan pada Ramadan ini dan selain mengikut jadual operasi tersebut diadakan berdasarkan aduan orang ramai.

“Operasi hari ini (kelmarin) tidak membabitkan sebarang tangkapan dan mungkin hujan juga menjadi faktor golongan ini tidak ditemui di lokasi terlibat.

“Pada operasi sebelum ini, kita berjaya menahan lapan orang warga asing iaitu dari Rohingya dan seorang warga tempatan berusia 10 bulan hingga 30an,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini kelmarin.

Menurutnya, pihaknya turut menerima aduan orang ramai yang tidak selesa dengan kehadiran golongan itu terutamanya di bazar-bazar sepanjang Ramadan ini.

“Kita juga ingin sedang giat menjalankan kempen 'Bijak Membantu elak Tertipu' supaya orang ramai tidak mudah terpedaya sebaliknya menyalurkan segala sumbangan mereka kepada badan-badan yang diiktiraf dan berdaftar,” katanya.