KUANTAN - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob memberi amaran tegas akan menyaman Adun Semambu,  Lee Chean Chung sekiranya terus membuat tuduhan tidak berasas dalam isu penjualan East Coast Mall (ECM).

Adnan berkata, dakwaan Chean Chung berhubung isu itu seolah-olah menuduh dirinya sebagai seorang  yang mengamalkan rasuah membabitkan penjualan pusat membeli belah itu kepada syarikat dari Singapura.

"Saya memberi amaran tegas kepada Semambu jika terus mengaitkan saya dalam isu tersebut.

"Andaian tersebut memberi persepsi negatif dalam masa sama  membuktikan kerja pembangkang yang sering menyebarkan pembohongan.

"Jika Semambu terus ulangi tuduhan ini, saya akan saman. Jika rasa saya salah guna kuasa, Semambu boleh lapor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM)," katanya ketika menggulung titah Diraja Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada persidangan Dun, hari ini.

Adnan menjelaskan, dalam Capital Land Malaysia Mall Trust terdapat pegangan saham oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 9.8 peratus dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 10 peratus.

Adnan turut mengingatkan Chean Chung supaya mendapatkan fakta yang tepat sebelum membuat sebarang tuduhan.

Chean Chung yang juga Ketua Penerangan AMK sebelum ini memuat naik status di laman Facebook miliknya mengenai isu penjualan ECM dan mendakwa kerajaan negeri menjual aset kepada Singapura.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Adnan berkata, peruntukan sebanyak RM5juta disalurkan oleh kerajaan pusat bagi menyelesaikan masalah bekalan air di loji rawatan air Sungai Bilut di Raub.

Beliau berkata, dengan kos itu diharap dapat menyelesaikan isu air yang membelenggu penduduk di kawasan itu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Seramai 31 pemilik lot tanah yang terlibat dalam jajaran Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Ringlet, Cameron Highlands menerima pampasan berjumlah RM11.46 juta.
  • KUANTAN - Usaha kerajaan menyediakan rumah mampu milik untuk membantu rakyat di negeri ini memiliki kediaman sendiri gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan sasar kerana ada yang tidak mampu untuk membelinya.
  • KUANTAN - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob hari ini berkata, beliau tidak pernah terlibat dalam urusan tender di negeri ini, mahupun menjadi pengerusi Jawatankuasa Tender negeri.
  • KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang masih menunggu laporan daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) berhubung laporan lengkap tindakan menyita jengkaut yang menjalankan aktiviti mengorek tanah di kawasan lombong bauksit di Kampung Jeram, Beserah, Selasa lalu.