KUALA BERA - Jeti Kuala Bera yang terbiar selepas dinaik taraf beberapa tahun lalu bakal dijadikan lokasi pelancongan dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Abdul Rahim Yusoh berkata, pertemuan antara Sungai Pahang dan Sungai Bera menjadikan salah satu sebab kawasan itu berpotensi dan bersesuaian sebagai lokasi pelancongan.

“Di sini juga, kita boleh jadikan tempat untuk turun naik bot, sebab memang pada awalnya ia berfungsi sebagai jeti. Cuma ia perlu dibaik pulih supaya kemudahan ini dapat dimanfaatkan semula.

“JKKK sudah mengemukakan permohonan kepada pihak Majlis Daerah Bera (MDB) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah untuk tujuan itu,” katanya kepada pemberita, di sini.

Abdul Rahim berkata, dengan kembalinya JKKK di kampung ini, pihaknya akan memastikan semua projek atau pembangunan yang terbiar dimajukan semula.

“Beberapa kesan sejarah boleh diperhatikan dari tapak jeti ini termasuk tapak lama masjid pertama di kampung ini.

“Dulu, boleh nampak masjid lama dari sini tapi sebab banjir besar pada tahun 1971 masjid itu roboh dan dihanyutkan air deras.

“Malah, ada mitos mengatakan Tanggang pernah singgah di sini kerana terdapat sebuah batu yang menyamai kisah Tanggang disumpah ibunya apabila kelihatan seperti rambut mengurai terkeluar dari celah batu itu.

"Namun mitos ini adalah yang diceritakan oleh orang tua dari generasi ke generasi dan tidak dapat kita nak mengesahkannya kejadian sebenar,” katanya.

Menurutnya, pihak JKKK akan dapat mengungkil lebih banyak sejarah di kampung ini agar sektor pelancongan dapat dibangunkan di sini sekali gus meningkatkan ekonomi penduduk kampung.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Jeti pendaratan ikan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang di Kemunting semakin padat memandangkan ia menjadi lokasi 316 bot terdiri bot A, B, C dan C2 mendaratkan hasil tangkapan di situ.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.