BANDAR JENGKA - Felda Jengka dirancang sebagai bandar Islam dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Hasrat itu dinyatakan Adunnya, Ustaz Shahril Azman Abd Halim.

“Alhamdulillah setakat ini penerimaan rakyat terhadap peralihan pentadbiran daripada Umno kepada Pas di Dun Jengka amat menggembirakan. Bahkan saya mahu menjadikan Dun Jengka ini sebagai Islamic complience dan ke arah bandar Islam.

“Perkara utama ke arah itu yang telah kita laksanakan iaitu menjalankan Kempen Jom Tutup Aurat sejak awal Ramadan lalu.  "Kita akan teruskan sepanjang masa. Fokus kempen ini tidak hanya kepada golongan muslimah sebaliknya juga untuk lelaki,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, selepas lebih sebulan manjadi wakil rakyat Dun Jengka, Ustaz Shahril Azman turut mengumpul data aduan dan maklumat berkaitan Dun itu.

Menurutnya, di samping membuka pejabat untuk kemudahan penduduk yang memerlukan perhatian dan bantuan, beliau turut menghadiri aktiviti penduduk.

“Setakat ini ada beberapa aduan berkenaan masalah setempat seperti lokasi peniaga, rungutan dan informasi semasa mengenai kawasan ini yang perlu dimajukan ke pihak sepatutnya. 

"Ada yang telah diselesaikan, ada dalam tindakan dan memerlukan peruntukan.

“Mengenai projek mega yang telah dilaksanakan dan akan dibuat oleh kerajaan terdahulu, itu kita akan lihat semula statusnya selepas ini kerana melibatkan bajet di peringkat persekutuan," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Bagaimanapun katanya, aduan dan masalah yang diterima membabitkan peringkat akar umbi akan dibawa pada Persidangan  Dewan Undangan Negeri.

Ustaz Shahril berkata, di bawah kelolaan Dun Jengka, turut dibuka adalah Pusat Cakna Rakyat bagi memberi bantuan segera seperti keperluan dapur kepada golongan memerlukan.

Pejabat Dun Jengka telah melantik ahli Pas setempat untuk mencari dan mengenal pasti golongan asnaf, anak yatim, balu atau ibu tunggal untuk dibantu mengikut kesesuaian.