TIOMAN - Lagi jaring pukat hanyut ditemui snorkel guide yang tersangkut pada terumbu karang berhampiran pantai Bunut yang terletak antara Kampung Tekek dan Paya, di sini, semalam.

Atas rasa tanggungjawab bagi menyelamatkan terumbu karang berkenaan, snorkel guide itu telah melaporkannya kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) Reef Check Malaysia (RCM) agar tindakan boleh diambil.

Koordinator RCM di Pulau Tioman, Alvin Chelliah, berkata, maklumat awal yang diperoleh mengatakan jaring pukat itu bersaiz tidak besar dan telah ke lokasi pagi ini untuk mengeluarkannya dari air.

Menurutnya, jaring pukat yang baru ditemui itu merupakan yang keempat bagi tahun ini manakala tiga lagi ditemui pada Februari lalu telah berjaya dikeluarkan dengan penglibatan kedai selam dan RCM.

“Pagi tadi saya bersama beberapa sukarewan telah ke lokasi yang dilaporkan untuk mengeluarkan jaring pukat itu namun ia agak mengejutkan kerana saiznya lebih besar dan memerlukan lebih ramai sukarelawan.

“Jika dilihat dari permukaan memang ia nampak tidak besar tetapi apabila kami menyelam rupanya bahagian dalam air lebih besar dan saya menganggarkan beratnya sekitar 350 kilogram (kg),” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Alvin berkata, setelah gagal mengeluarkan jaring pukat itu, beliau terpaksa pulang untuk meminta bantuan daripada kedai selam berhampiran dan Persatuan Penyelam Tioman.

“Tenghari esok ketika air surut kita akan ke sana semula dengan tenaga yang lebih ramai, kita akan cuba memotong jaring pukat itu terlebih dahulu sebelum mengeluarkannya dari air,” katanya.

Berdasarkan rekod dicatat RCM, sebanyak 20 pukat telah ditemui dan berjaya dikeluarkan dari 2014 hingga 2016 dengan berat sejumlah tidak kurang 4000kg manakala bagi tahun lalu sebanyak tujuh jaring pukat dikeluarkan dengan berat 1500kg.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) Pahang, Mohd Fazli Long, yang dihubungi mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat yang menyokong usaha memelihara dan memulihara terumbu karang serta kepelbagaian hidupan marin.

Menurutnya, JTLM Pahang memang ada kerjasama erat dengan kumpulan kumpulan terlibat termasuk media dan mengharapkan ia akan memberi kesedaran di semua peringkat sama ada nelayan, orang awam dan pelancong.

“Kita menghargai segala usaha yang dilakukan pelbagai pihak termasuk media yang membuat laporan sekali gus pendedahan mengenai kerja-kerja begini secara tidak langsung mampu memupuk kesedaran cintakan Taman Laut,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PASIR MAS - Cuaca panas yang melanda negeri ini kesan daripada fenomena El Nino tidak menghalang ahli Komuniti Kampung Jintan dan Alor Piah menyertai Pesta Tarik Pukat di Tasik Danau Tok Uban, di sini.
  • TANJUNG PIANDANG - Sekumpulan nelayan yang sedang menangkap ikan di perairan Sungai Burong, di sini digemparkan dengan penemuan mayat seorang warga asing dipercayai lemas sejak empat hari lalu.
  • BOTA - Padang bola Stadium Mini Bakri Rais yang sinonim dengan pertandingan bola kini bertukar menjadi lubuk mencari ikan.
  • KANGAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Utara menahan lapan bot pukat rawa sorong sepanjang tahun ini selepas aktiviti tersebut merosakkan dan membunuh hidupan laut.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.