MARAN - Penglibatan ahli keluarga dilihat mampu membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah selain membantu memulihkan penagih berbanding menyembunyikan golongan itu sehingga sukar untuk dirawat.

Ketua Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Maran, Adelina Abdul berkata, usaha membanteras akan menjadi lebih mudah dan dapat dibendung sepenuhnya dengan penglibatan keluarga terdekat bersama pihak berkuasa.

Menurutnya, kerjasama daripada penagih di bawah pemantauan AADK masih dalam keadaan terkawal.

“Tapi, terdapat segelintir keluarga yang sanggup menyembunyikan ahli keluarga mereka yang menagih dadah atas alasan kasihan dan enggan masuk campur.

“AADK menyeru kaum keluarga berikan kerjasama kerana tujuan kami untuk membantu penagih kembali ke jalan benar, dirawat dan dididik untuk bermasyarakat. Tanpa sokongan keluarga, agak sukar untuk mereka pulih dan kembali kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan di Pejabat AADK Maran, di sini semalam.

Adelina berkata, empat lelaki ditahan penguat kuasa AADK Maran selepas didapati positif dadah dalam serbuan dilakukan sekitar daerah ini, semalam.

“Kesemua lelaki berusia 19 hingga 50 tahun itu ditahan selepas ujian saringan urin mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine. dalam Ops Cegah AADK.

“Mereka ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah Rawatan Dan Pemulihan 1983 (Pindaan 1998),” katanya.

Menurutnya, operasi membabitkan lapan anggota yang diadakan selama dua hari bermula semalam itu bertujuan mengesan penagih baharu di daerah ini untuk tindakan perundangan.

“Selain pemantauan, operasi ini diadakan bagi mengenal pasti penagih untuk bantu mereka jalani rawatan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BUKIT MERTAJAM - Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang sudah tidak bersekolah dan bekerja sebagai 'runner' menghantar bekalan dadah kepada pembeli berjaya ditahan di Jalan Lebuh Kurau, Taman Chai Leng Park di Perai dekat sini semalam.
  • BANDARAYA MELAKA - Sepasang suami isteri yang disyaki pengedar dadah ditahan di sebuah rumah di Taman Paya Rumput Indah di sini, awal pagi semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.