KUANTAN - Sebanyak 28 kes  kemalangan melibatkan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan haiwan ternakan dilaporkan berlaku di negeri ini dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 13 kes tahun lalu dan 19 kes pada 2016.

Pengurus Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Wilayah Timur, Zaid Ibrahim berkata, untuk bulan ini, tiga kes sudah dilaporkan.

Menurutnya, jumlah itu dijangka terus meningkat sekiranya penternak terus membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran di atas landasan.

Katanya, lokasi dikenalpasti sering berlaku kemalangan ini termasuk landasan dari Jerantut ke Kuala Krau dan Lipis ke Jerantut terutama di kawasan  Tembeling, Mela, Jenderak, Padang Piol, Sepial, Jeransong dan Kuala Krau.

“Kehadiran   haiwan ternakan yang  berkeliaran di atas landasan kereta api terutama pada waktu malam dan awal pagi ibarat bom jangka yang boleh memberi ancaman kepada keselamatan tren dan penumpang.

 “Masalah ini bukan perkara baru sebaliknya kes-kes kemalangan melibatkan tren dan haiwan ternakan ini sering berlaku disebabkan sikap penternak yang tidak bertanggungjawab,”katanya ketika dihubungi hari ini.

Zaid berkata, peningkatan kes kemalangan itu agak membimbangkan kerana jika penternak atau pemilik haiwan terus membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran atau tidur di atas landasan, lebih banyak kemalangan akan berlaku.

 “Biarpun setakat ini belum ada kemalangan serius melibatkan tren tergelincir atau sebagainya namun pihak KTMB memandang serius perkara ini kerana ia boleh mengancam keselamatan penumpang,”katanya,

 “Keadaan ini cukup berisiko termasuk boleh menyebabkan tren tergelincir lebih-lebih lagi jika melibatkan haiwan lebih besar seperti kerbau,’ katanya.

 Beliau berkata, pihaknya sudah mengadakan perjumpaan bersama penduduk bagi mengatasi masalah ini namun keadaan sama masih berlaku.

“Jika berlaku kemalangan, kerugian bukan sahaja dialami penternak itu sendiri malah pihak KTMB terpaksa mengeluarkan kos membaiki tren yang mengalami kerosakan pada masa yang sama, ia mengganggu jadual perjalanan tren ke destinasi sepatutnya.

“Tempoh gangguan perjalanan ini bergantung kepada kes, ada sekejap dan ada yang melibatkan satu tempoh masa yang agak lama.”katanya.

Menurutnya, penternak diharap lebih bertanggungjawab dan tidak membiarkan haiwan ternakan mereka bebas berada berdekatan atau  di atas landasan.

“Tindakan boleh diambil terhadap mereka di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010(Akta 715) Sek 127 yang memperuntukkan denda RM500 bagi setiap kesalahan,”katanya.