ketika cinta bertasbih

KUANTAN – Remaja tidak seharusnya mengagungkan budaya luar hingga mendorong perubahan penampilan yang menjurus kepada kerosakan akidah.

Penceramah bebas, Ustaz Don Danial Don Biyajid al-Hafiz berkata, remaja sekarang lebih berminat untuk meniru penampilan selebriti luar serta menjadikan mereka sebagai idola berbanding mengikut sunnah Rasulullah SAW.

“Remaja seharusnya mengagungkan dan menjadikan peribadi Rasulullah SAW sebagai contoh untuk memimpin kehidupan yang lebih baik.

“Namun, apa yang berlaku sebaliknya. Mereka malu untuk berpenampilan seperti Rasulullah SAW, tetapi bangga dengan penampilan selebriti luar yang kononnya lebih moden,” katanya.

Beliau ditemui ketika program Bicara Pemurnian Akidah dan Syariah (Persada), ‘Ketika Cinta Bertasbih’, di Dewan Utama Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kipsas), semalam.

Program anjuran Unit Akidah dan Syariah Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) dengan kerjasama Kipsas itu turut menampilkan dua lagi panel, Shamril Salleh (Sham Kamikaze) dan Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang al-Idrus serta Ustaz Badli Shah Alauddin selaku moderator.

Ustaz Don berkata, bagi memupuk peribadi mulia bukan sekadar meniru penampilan Rasulullah SAW semata-mata, tetapi perlu mengamalkan sunnah baginda secara keseluruhan.

“Sunnah Rasullullah jika diamalkan, besar pahalanya. Ramai yang kata ia hanya sunat dilakukan, tetapi perkara sunat itulah yang menjadi bonus untuk kita ke syurga.

“Perkara wajib jika dilaksanakan belum tentu masuk syurga, tetapi jika ditinggalkan pasti akan ke neraka,” katanya.

Program yang dianjurkan sempena Maulidur Rasul itu dihadiri seramai 2,350 peserta yang terdiri daripada pelajar Kipsas, ahli Puspanita Pahang, Jaip, pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Lembaga Kemajuan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM), pelajar sekolah menengah, pelajar institut pengajian tinggi (IPT) serta orang ramai.

Sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan dengan kisah-kisah Rasulullah SAW yang perlu dijadikan contoh bagi membina kehidupan yang lebih sempurna.