BUKIT TUKU - Setelah lima bulan berlalu, jalan mendap di Jalan Bukit Tuku ke Batu Hampar masih belum dibaiki.

Pentadbir Mukim, Jusoh Isa berkata, pihaknya sudah melaporkan kerosakan jalan berkenaan kepada pihak terbabit, namun tiada usaha membaik pulih dijalankan.

Menurutnya, lubang sedalam hampir 0.6 meter dengan kelebaran melebihi dua meter ini boleh mengundang kemalangan.

“Pemandu mungkin tidak sedar jalan ini rosak terutama pada waktu malam malah mereka mungkin terjatuh ke bahu jalan yang mempunyai kedalaman lebih lima meter.

“Ini kerana laluan ini juga tidak dilengkapi lampu jalan,” katanya.

Jusoh berkata, jika tidak dibaiki, pihak berkenaan sekurang-kurangnya boleh menimbus lubang dengan tanah atau batu.

Katanya, jika tiada usaha dijalankan segera, ia akan menjadi semakin parah terutama menjelang tengkujuh ini.

Sebelum ini, Jusoh berkata, jalan berkenaan mengalami kerosakan akibat saliran mendap ketika banjir awal tahun ini, malah kejadian sama pernah berlaku ketika banjir besar 2014 lalu.

“Disebabkan kejadian itulah, kami harap pihak berkenaan baiki dengan segera kerana jika hujan lebat mungkin menyebabkan kawasan terdekat terhakis dan runtuhan tanah di bahu jalan," katanya.

Jusoh berkata, laluan itu menjadi penghubung kepada ratusan keluarga dan pelajar dari enam sekolah dekat sini.

Katanya, antara sekolah yang terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Perah, SK Bukit Jarum, SK Banggol Perai, SK Baroh Pial, SK Alor Pasir, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial dan SMK Alor Pasir.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MERANTI - Penduduk di sini, meminta pihak berkenaan membaiki segera jalan Banggol Che Musa ke Cherang Meranti yang rosak.
  • GUA MUSANG - Lebih 600 penduduk di Kampung Pasir Linggi dan Kampung Susu Dara mengeluh apabila projek jalan perhubungan antara dua kampung itu didakwa tidak mengikuti piawaian.
  • KUALA ROMPIN - Kira-kira lebih 20 orang penduduk Taman Nusa Puteri, di sini, sepakat menampal jalan rosak atau berlubang di taman perumahan itu dengan simen secara bergotong-royong.
  • MALIM NAWAR - Penduduk Kampung Tualang Sekah, di sini meminta projek pengambilan bahan batu pasir yang dilakukan sebuah syarikat kontraktor lantikan, sejak enam bulan lalu, disegerakan bagi mengelak lebih banyak kemalangan berlaku.
  • BACHOK - Laluan dari jambatan Kada Kampung Pak Koja ke Kampung Mak Lipah, dekat sini, yang berlubang dan berlopak akibat hujan lebat hujung tahun lalu bertambah baik selepas projek membatu, baru-baru ini.