KUALA LIPIS - Penduduk Taman Muhibah Batu 4 di sini kini menarik nafas lega apabila semak samun dan belukar berhampiran kediaman mereka telah dibersihkan oleh Majlis Daerah Lipis (MDL).

Penduduk, Jamaluddin Ismail, 43, berkata, dia melahirkan rasa penghargaan di atas keprihatinan pihak MDL yang cakna dengan masalah terbabit ekoran berlaku kejadian ular sawa batik yang dijumpai di atas siling rumahnya baru-baru ini.

Menurutnya, kerjasama yang dihulurkan MDL bagi membersihkan semak samun, belukar dan stor usang di kawasan perumahan tersebut memberi keselesaan kepada penduduk sekali gus terhindar dari haiwan berbisa.

“Selepas kejadian ular sawa batik berukuran tiga meter dan berat kira-kira 30 kilogram dijumpai di atas siling rumah  pada Ahad minggu lalu, saya bersama emak, Siti Esah Awang Mohamad, 76, serta jiran berhampiran tidak dapat tidur nyenyak.

“Kami masih terbayang-bayang ular sawa terbabit dan melahirkan rasa gerun sejurus melihat reptilia berkenaan ditangkap oleh anggota bomba,” katanya sempena program gotong royong di Taman Muhibah di sini, semalam.

Jamaluddin berkata, kini dia bersama ibunya mampu tidur nyenyak kerana semak samun dan stor usang berhampiran kediaman mereka yang berpotensi menjadi sarang ular telah dimusnahkan.

Beliau turut berharap kejadian tersebut tidak berulang agar penduduk taman terbabit dalam hidup dengan lebih selesa dan harmoni.

Dalam kejadian 4 Mac lalu, dua keluarga di Taman Muhibah Batu 4 di sini digemparkan dengan penemuan seekor ular sawa batik sepanjang tiga meter dan seberat 30 kilogram di atas siling kediaman mereka jam 5 petang.

Kehadiran reptilia tersebut disedari jiran Jamaluddin yang melihat ekor haiwan berkenaan terjuntai dari siling dapur rumah yang pecah sebelum menghubungi anggota bomba untuk meminta bantuan.

Anggota bomba terpaksa membuka atap rumah bagi mencari ular yang dipercayai berada di atas siling tiga buah kediaman termasuk sebuah rumah kosong yang terletak di lot hujung.

Dalam kejadian itu pihak bomba terpaksa mengambil masa lebih sejam untuk mencari ular berkenaan sebelum menjumpainya di atas siling dapur rumah Jamaluddin.

Sejurus reptilia berkenaan ditangkap anggota bomba bertindak melepaskan haiwan berkenaan ke habitat asalnya di dalam hutan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • REMBAU - Tiga keluarga di Kampung Paya Lebar Luar, Pilin, di sini, kesal apabila laluan keluar masuk ke kediaman mereka dipenuhi lumpur serta berselut sejak lebih lima bulan lalu.
  • BERA - Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mencadangkan usul untuk melantik pihak swasta bagi menguruskan dan menyelenggarakan sampah domestik di kawasan tanah rancangan itu.
  • JERTIH - Masalah penempatan peniaga kecil dan tempat letak kereta di bandar ini akan selesai selepas Jertih Square siap sepenuhnya pada tahun hadapan.
  • KOTA BHARU - Kariah masjid Al Awwabin Desa Pinggiran Golf 2, Pengkalan Chepa di sini mengharapakn supaya pihak berwajib dapat memantau kehadiran anjing liar di kawasan berkenaan yang menggangu jemaah untuk menunaikan solat.
  • TAPAH - Majlis Daerah Tapah (MDT) akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menjadikan Taman Awam Tasek Temoh sebagai trek motosikal sehingga membahayakan pengunjung.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.