KUANTAN - Kerajaan negeri memberi amaran keras kepada pengusaha lombong yang gagal mematuhi syarat yang dikenakan bagi menjalankan aktiviti mengangkut bauksit di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap kumpulan itu kerana kepentingan rakyat lebih diutamakan.

Justeru,  kerajaan negeri akan melaksanakan enam langkah bagi mengatasi masalah berkaitan bijih besi dan bauksit di negeri ini yang menimbulkan rungutan pelbagai pihak termasuk penduduk yang terjejas akibat perlombongan mineral berkenaan.

“Langkah yang akan dikuatkuasakan serta-merta ini adalah susulan cadangan pelbagai pihak menerusi mesyuarat khas yang dipengerusikan sebelum ini.

“Antara langkah yang akan diambil adalah Pintu A ke Pelabuhan Kuantan tidak lagi dibenarkan untuk digunakan oleh lori membawa muatan bahan berkenaan selain mengosongkan ‘stockpile’ (timbunan) mineral di kawasan pelabuhan berkenaan,” katanya pada sidang media di Wisma Sri Pahang di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.

Adnan berkata, agensi penguatkuasaan pula akan memperhebat tindakan penguatkuasaan bagi menyita peralatan lombong haram di samping meneruskan sekatan jalan raya bagi mengesan lori yang tidak memiliki permit untuk membawa mineral berkenaan.

“Langkah lain yang turut diambil termasuk membatalkan pengeluaran lesen melombong dan permit 4C terhadap pihak yang menyalahgunakannya untuk mengeksport mineral itu ke luar negara menerusi Pelabuhan Kuantan.

“Saya memberi kata dua kepada pengusaha lombong bauksit dan bijih besi supaya mengikuti peraturan itu jika tidak mahu lesen mereka dibatalkan,” tegasnya.

Adnan berkata, kerajaan tiada pilihan selain bertegas menangani masalah pencemaran bauksit ini dan  terpulang kepada syarikat pelombong sama ada untuk mengikuti peraturan ini atau tidak.

“Jika mahu beroperasi dalam tempoh yang lama, sila patuhi arahan yang dikeluarkan. Langkah ini diambil kerana mengambil kira perbincangan dengan semua pihak termasuk penduduk di kawasan yang terjejas teruk akibat aktiviti perlombongan mineral itu.

“Dalam masa sama, saya melihat aktiviti mencuci lori membawa muatan itu di kawasan Pelabuhan Kuantan mencemarkan air sungai sehingga menyebabkan fenomena laut merah di negeri ini,” katanya.

Adnan dalam pada itu, mahu orang ramai tidak panik dan mengalu-alukan sebarang aduan  dikemukakan kepada pihak berkuasa.

“Saya juga berharap supaya pihak industri di kawasan Gebeng tidak gawat, kerajaan akan berusaha untuk mengatasi masalah mereka,” katanya.