KUANTAN - Tahap kesedaran orang ramai terhadap keselamatan kediaman atau premis yang ditinggalkan pada musim perayaan menunjukkan peningkatan, namun masih di tahap sederhana tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azri Ahmad berkata, justeru masyarakat digesa supaya memberikan kerjasama dan menyalurkan segala maklumat yang ada supaya dapat membantu pihak polis bertindak membanteras jenayah terutamanya di musim perayaan.

Katanya, antara langkah yang perlu diambil termasuk mengisi borang balik kampung sebelum pulang bercuti bagi membolehkan pihak polis melakukan rondaan ke kawasan kediaman dan premis perniagaan.

“Orang ramai boleh menghubungi balai polis berhampiran atau memuat turunkan borang menerusi rmp.gov.my,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan pelaksanaan Op Selamat 11/2017 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, semalam.

Menurutnya, menerusi Op Selamat 11/2017 yang dilancarkan pada 18 Jun sehingga 2 Julai ini, beliau meminta orang ramai mengambil langkah-langkah yang disarankan untuk sama-sama mencegah jenayah.

“Berdasarkan statistik, beberapa jenayah yang berlaku pada musim perayaan iaitu sebelum dan semasa membabitkan jenayah pecah rumah, kenderaan dan curi serta ragut.

“Selain itu, orang ramai perlu mengambil langkah keselamatan seperti ketika mengeluarkan duit, membeli belah termasuk di bazar dan meninggalkan rumah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, operasi sempena Aidilfitri tahun ini akan dilaksanakan secara ‘total enforcement” yang bertujuan menurunkan kadar kemalangan maut, kematian, kemalangan biasa dan melancarkan perjalanan lalu lintas serta memberikan tumpuan kepada penurunan kadar jenayah pecah rumah semasa musim perayaan itu.

Menurutnya lagi, antara kesalahan lalu lintas yang menjadi tumpuan penguatkuasaan secara ‘total enforcement” adalah melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, tidak patuhi lampu isyarat dan menggunakan telefon bimbit.

Sementara itu, sebanyak 36 laluan dikenal pasti ‘blackspot” di negeri ini pada tahun ini membabitkan 12 lokasi dengan 60 peratus adalah laluan sama sebelum ini manakala selebihnya laluan baru.

Antaranya, Jalan Kuantan-Maran (Tasik paya Bungor, Simpang Lepar Hilir 3, Batu 12 Taman Mahkota, Restoran Zaman), Jalan Kuantan-Pelabuhan, Jalan Kuantan-Maran, KM 63-79 Jalan Kuantan-Segamat dan KM24-47 Jalan Temerloh-Bandar Jengka.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOHOR BAHRU - “Kami memilih untuk meneruskan sisa-sia kehidupan di Rumah Seri Kenangan (RSK) kerana tidak mahu menyusahkan anak-anak,” ujar See Jan Kuang, 80, yang berasal dari bandaraya ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.