RAUB - Kedua belah kaki yang terpaksa dipotong akibat kencing manis menyebabkan seorang peniaga kedai makan hilang punca pendapatan.

Mohd Azhar Mohd Tahar, 44, dari Pintu Padang, Raub di sini berkata, sejak menghidap penyakit berkenaan, isterinya, Rormuela, 40, banyak membantu menampung perbelanjaan keluarga termasuk empat anak mereka.

Menurutnya, sebagai seorang ketua keluarga dia merasa ralat kerana tidak mampu lagi mencari rezeki untuk keluarganya.

“Sebelum ni kami memang buka kedai makan. Bila saya sakit, isteri sayalah yang uruskan kedai...tu pun isteri beritahu dah tak ramai pelanggan datang.

“Bila dah tak ramai datang, pendapatan pun dah tak cukup. Belanja sekarang pun tinggi, ditambah pula anak saya semua masih bersekolah dan ada yang masuk universiti.

“Anak sulung dan yang nombor dua sedang belajar di Mesir dan juga di UPM.  Seorang lagi bakal ambil PT3 dan yang bongsu pula akan ambil peperiksaan UPSR,” katanya.

Mohd Azhar berkata, dengan hanya mengharapkan pendapatan isterinya yang tidak seberapa itu dia terpaksa menangguhkan rawatan susulan.

“Nak pergi hospital tak boleh sebab tiada siapa nak hantar. Isteri tak pandai bawa kereta pula. Sekarang saya hanya bergantung ubat yang beli di luar saja. Tu pun dah cecah RM200.

“Bab makan minum pula memang tak tentu. Saya hanya mampu bersabar. Ikutkan hati saya nak sangat bekerja...tapi apa boleh buat, saya tak mampu dah nak buat semua tu,” katanya.

Sementara itu, abang ipar Mohd Azhar, Abd Manan Ishak berkata, dia terkilan berikutan tidak dapat membantu adik iparnya memandangkan pendapatannya juga tidak menentu.

“Saya harap ada pihak yang prihatin datang bantu. Saya juga mohon ada pihak yang sudi bantunya urus pendaftaran kad pengenalan Azhar.

“Dia dah lama hilang kad pengenalannya. Kalau tak ada IC susahlah, banyak urusan akan tergendala, dia pula tak tahu macam mana nak daftar semula,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PASIR MAS - [VIDEO] Ruangnya sempit, tiada bilik tidur mahupun dapur apatah lagi ruang tamu, namun di situlah syurga buat seorang ibu tunggal bersama dua anaknya di Kampung Landar, Slow Machang di sini.
  • BACHOK - [VIDEO] Sebuah keluarga di Kampung Kandis terpaksa tidur di ruang tamu rumah setelah bahagian utama rumah asal mereka hampir roboh kerana struktur dapur dan bilik itu telah reput.
  • KOTA BHARU - [VIDEO] Kerana kasih hingga hujung nyawa, seorang isteri sanggup mendukung dan suaminya yang dilahirkan lumpuh dari pinggang ke kaki bagi memudahkan pergerakan suaminya itu.
  • JOHOR BAHRU - Seorang mualaf memerlukan bantuan kos rawatan berjumlah RM100,000 selepas terbabit kemalangan di persimpangan bertingkat Lebuhraya Pesisir Pantai (Coastal Highway) berhampiran Horizon Hill, di sini, 18 Disember lalu.
  • SUNGAI SIPUT (U) - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Mungkin itu perumpamaan tepat menggambarkan kehidupan Bahari Kechik, 64, dan keluarganya di Kampung Sungai Bendang, di sini.