MARAN - Ibu tunggal disaran mendaftar dengan persatuan bagi memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan kepada mereka.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, kerajaan prihatin dengan nasib ibu tunggal dan anak-anak mereka, justeru bagi mengatasi masalah serta bebanan, mereka perlu berdaftar dengan persatuan ibu tunggal.

"Kerajaan akan menyalurkan bantuan kepada persatuan supaya dapat membela nasib mereka.

"Andai kata mereka tidak berdaftar, maka mustahil bagi pihak-pihak berkaitan untuk mengenal pasti keadaan dan keperluan mereka,"katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan kepada lebih 1,000 ibu tunggal Daerah Maran di Dewan Arena Tengku Muda Pahang, hari ini.

Menurutnya, di Negeri Pahang terdapat lebih 22,000 ibu tunggal yang telah berdaftar dengan persatuan dan masih ramai lagi yang belum berdaftar.

Sehubungan itu, beliau menyeru ibu tunggal berdaftar segera dengan mana-mana persatuan bagi memudahkan kerajaan menyalurkan  bantuan kepada  mereka.

Tegasnya, ibu tungal yang tidak berpersatuan, maka sukar bagi kerajaan untuk menyalurkan bantuan dan dana bagi membela nasib mereka.

Dalam pada itu, beliau menggesa ibu tunggal supaya menceburi bidang keusahawanan kerana banyak inisiatif diberikan kepada golongan wanita.

"Dalam belanjawan tahun ini, kerajaan memperuntukkan lebih RM2 billion untuk pelbagai bantuan termasuk pinjaman dan  kegiatan ekonomi kepada golongan wanita dan ia seharusnya dimanfaatkan," katanya.

Ismail berkata, kerajaan mengiktiraf golongan wanita dan ini terbukti apabila ramai wanita dilantik menjawat pelbagai jawatan tinggi dalam kerajan dan anak syarikat kerajaan GLC termasuk Ketua Kampung.

Ahli Parlimen Maran itu juga berkata, keyakinan kerajaan terhadap kaum wanita amat tinggi, malah memberikan peruntukan besar kepada pembangunan wanita pada masa akan datang.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JERANTUT - Seorang ibu tunggal sanggup mengorbankan kerjayanya demi menjaga anaknya yang sakit dan ditempatkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Terengganu sejak 30 Oktober lalu.
  • KUALA LIPIS - Pemergian anak tersayang akibat radang paru-paru atau pneumonia pada Ogos lalu begitu dirasai seorang ibu tunggal, dari Taman Cheneras Indah, di sini.
  • BERA - Tiada apa yang lebih diharapkan seorang anak melainkan untuk melihat ibu yang terlantar dan ayah mengidap penyakit prostat kembali sihat.
  • FELDA TRIANG 3 - Pada usia emas, seorang peneroka wanita yang juga ibu tunggal kepada lapan anak, Norharjani Harun, 64, masih perlu menjaga setiap keperluan anak sulungnya yang berstatus orang kurang upaya (OKU).
  • KUALA ROMPIN - Dalam keadaan ada ketika wang simpanan Tabung Haji (TH) terpaksa dikeluarkan untuk perbelanjaan anak sekolah, seorang ibu tunggal bersyukur akhirnya dipilih menunaikan haji tahun ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.