KUALA ROMPIN - Dalam keadaan ada ketika wang simpanan Tabung Haji (TH) terpaksa dikeluarkan untuk perbelanjaan anak sekolah, seorang ibu tunggal bersyukur akhirnya dipilih menunaikan haji tahun ini.

Penduduk Kampung Sungai Meranti, Zaiton A Rahman, 59, berkata, selepas suami pertama dan kedua meninggal dunia, beliau membesarkan empat anak seorang diri.

Beliau yang merupakan ahli Unit Peladang Sungai Meranti itu bersyukur dapat menempuh kesukaran itu dan kesemua anak-anaknya kini sudah dewasa serta boleh berbakti kepadanya pula.

"Bila fikir semula pada ketika itu wang simpanan tabung terpaksa diambil, kemudian perlu simpan semula dan keadaan begitu berlarutan demi belanja anak-anak hingga mereka dewasa, alhamdulillah ada jalannya ia penuh semula.

"Lepas dapat surat maklum dapat pergi haji hujung tahun lalu, rasa bersyukur sangat, dari tiada wang ketika mula buka akaun akhirnya sudah ada dan kini terpilih pula untuk pergi," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau ditemui selepas menerima sumbangan kepada ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rompin yang bakal menunaikan haji tahun ini pada Majlis Sambutan Aidilfitri 2017, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin, Adun Muadzam Shah, Datuk Seri Maznah Mazlan, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Pahang, Sawalludin Ahmad dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Rompin, Datuk Md Rusli Ismail.

Membuka akaun Tabung Haji sekitar 2000 dan mendaftar haji pada 2007, Zaiton telah lama berniat untuk pergi walaupun dalam keadaan wang masih tiada.

"Sepanjang tempoh menunggu banyak kali makcik pergi kursus, hinggakan setiap perubahan berkaitan cara menunaikan haji itu makcik tahu, cuma bezanya, tahun ini makcik kursus untuk betul-betul pergi haji," katanya.

Seorang lagi penerima, Nyawati Abd Jalil, 57, bersyukur dipilih menunaikan haji pada tahun ini iaitu setahun lebih awal daripada yang dijangkakan.

"Saya buka akaun dari tahun 90an tetapi tak daftar haji sebab ingatkan bila simpanan dah penuh automatik layak untuk pergi, bila pergi pejabat Tabung Haji mereka kata kena daftar dulu, jadi tahun 2007 baru daftar.

"Lepas 10 tahun dipilih juga untuk pergi, terkejut dapat surat hujung tahun lalu kerana terpilih, saya syukur sangat, mungkin berkat doa ketika saya pergi umrah pada 2015," katanya.     

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SKUDAI - “Susah macam mana pun, saya mahu kesemua anak saya berjaya menamatkan persekolahan mereka dan memperoleh masa depan yang cerah,” ujar Siti Fazilah Mohd Yatim, 36.
  • TEMERLOH - Hasrat seorang pemuda juga orang kurang upaya (OKU) untuk meninggal dunia di Makkah menjadi kenyataan apabila menghembuskan nafas terakhir di tanah suci itu 6 September lalu.
  • BESUT - Seorang ibu tunggal beranak tiga ditangkap bersama seorang lelaki sedang lalok dadah di sebuah rumah kosong dipenuhi sampah sarap di Kampung Sentosa, dekat sini pagi semalam.
  • KUANTAN - “Saya akan gunakan sebahagian wang pampasan ini untuk upah haji dan kenduri buat arwah suami,” kata Noor Azaliza Ahmad, 40, yang menerima pampasan insurans Zurich Takaful Malaysia Berhad yang berjumlah RM150,898 di sini, semalam.
  • BERA - Tiada apa yang lebih diharapkan seorang anak melainkan untuk melihat ibu yang terlantar dan ayah mengidap penyakit prostat kembali sihat.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.