JENGKA - Ibu bapa dinasihatkan cakna dengan perkembangan sosio ekonomi dan budaya yang bergerak laju menerusi media sosial, masa kini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, hal ini bertujuan menangani gejala negatif terhadap anak sejak kecil serta bagaimana menjadikan perkembangan tersebut sebagai sesuatu yang positif.

Menurutnya, media sosial pada masa kini begitu mempengaruhi perkembangan minda anak-anak generasi baharu.

"Saya susah hati dengan media sosial. Anak-anak kecil seusia tadika sudah pandai dengan gajet dan melayari media sosial berbanding kita. Sebab itu kita perlu cakna, perlu berilmu dalam menghadapi ledakan sosio budaya dan perkembangan media ini.

"Ambil tahu dengan menambah ilmu pengetahuan agar kita dapat mengekang budaya negatif yang datang menerusi media sosial. Ibu bapa jangan pernah rasa apa yang kita buat dah cukup. Banyakkan membaca supaya kita peka dan terbuka dengan perkembangan semasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pra Pelancaran Hari Kebangsaan Tabika Kemas 2017, di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Felda Jengka 3 hari ini.

Majlis itu melibatkan 14 Tabika Kemas seluruh kawasan Parlimen di negeri ini dengan kehadiran Pengarah Kemas Pahang, Ahmad Fakrul Radzi serta ketua-ketua Jabatan Daerah Maran.

Beliau berkata, kerajaan begitu komited melaksanakan pelbagai program agar rakyat luar bandar mampu bergerak seiring dalam mendalami kemajuan teknologi masa kini dan buktinya adalah dengan penubuhan Pusat Internet 1 Malaysia (PI1M) yang disediakan secara percuma buat penduduk luar bandar.

"Fahami aspirasi kerajaan dan jiwai program dilaksanakan kementerian. Jangan mensia-siakan usaha kerajaan. Semua tempat kita sudah ada PI1M. Di Dun Kuala Sentul misalnya, Alhamdulillah bakal lengkap semua Jengka dengan Pusat internet. Di Maran adalah Daerah paling banyak dibangunkan PI1M.

"Ia bertujuan mendidik anak bangsa serta warga negara kita untuk mempelajari internet dan menggunakan kemudahan tersebut untuk perkara-perkara yang betul," katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai khususnya wanita supaya tidak mudah terpedaya dengan penipuan alam maya.

Katanya, sebagai contoh katanya kes-kes melibatkan jenayah siber sama ada ‘scammer’, penipu internet atau jenayah seksual menerusi internet.

"Begitu ramai usahawan online dilahirkan menerusi internet. Namun tidak dinafikan ramai juga warga kita yang kerugian kerana internet juga. Khususnya wanita yang terjebak cinta internet. Sebab apa? Wanita mudah sangat lembut hati, melayan dan berborak. Mereka tertipu dengan profil di Facebook. Bercinta dan melabur duit. Jutaan ringgit duit wanita kita terlabur kerana tertipu cinta siber.

"Begitu juga jenayah seksual yang meningkat menerusi alam maya. Ajar dan didiklah anak-anak kita dengan perkara ini agar mereka tidak menjadi mangsa. Didik bagaimana menangani gejala penipuan alam maya ini," katanya.

Beliau berkata, Portal Pahang Cakna dilancarkan untuk ibu bapa membuat sebarang aduan berkaitan jenayah siber di negeri ini.

 

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - - Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) akan mengeluarkan surat peringatan kepada semua sekolah di negeri itu agar lebih peka dengan masalah murid, terutama dalam mengesan kes penderaan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.