KUANTAN - Kerajaan Pahang menyambut baik tindakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri untuk mengkaji semula hukuman bagi kes golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negeri ini.

Exco Jawatankuasa Kebudayaan Negeri, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Wanita dan Keluarga Negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, kerajaan negeri menyokong sebarang langkah untuk memperbaiki prosedur dan undang-undang sebagai satu bentuk pencegahan.

Menurutnya, setakat ini Pahang tidak berdepan sebarang kes berkaitan perkara itu, namun tindakan tegas tetap akan diambil terhadap sebarang kesalahan yang berkaitan dengan LGBT.

"Salah satu sebab mengapa tidak ada tindakan atau hukuman yang dilakukan terhadap kes LGBT adalah sukar untuk kita membuktikan kesalahan itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sebat: Pahang bayang ikut langkah Terengganu]

"Pelanggaran itu biasanya dilakukan secara peribadi dan amat sukar untuk membuktikan kesnya berlaku. Setakat ini kami hanya mengambil tindakan atau dihukum di bawah Undang-Undang Syariah berkaitan alkohol," katanya ketika ditemui media di Taman Tok Sira, di sini, petang tadi.

Shahaniza berkata demikian bagi mengulas pelaksanaan hukuman sebat bagi kes lesbian di Terengganu.

Bagaimanapun katanya, jika ada hukuman berat yang dikenakan ia adalah pendekatan pendidikan dan tidak menjadi kejam kepada pesalah.