• Hilang punca pendapatan sejak suami hidap penyakit kronik
1 /

KUANTAN - Kehidupan sebuah keluarga di Lorong Sekilau Dua, di sini, kian terhimpit dan hilang punca rezeki selepas ketua keluarganya menghidap penyakit kronik.

Itu situasi dihadapi Noor Baini Ali, 45, yang kini bertindak sebagai ketua keluarga selepas suaminya yang juga pesara tentera, Mazlan Mohd Hussain, 48, menghidap penyakit kencing manis dan buah pinggang kronik.

Malah kedua-dua belah mata suaminya hampir rosak kesan penyakitnya dan berisiko buta.

Mazlan kini bergantung kepada Noor Baini untuk berjalan kerana had penglihatannya agak terhad dan keadaannya menjadi lebih buruk pada waktu malam.

Mazlan berkata, mata kirinya seakan tidak berfungsi, manakala mata kanannya pula hanya boleh melihat objek dalam keadaan samar dengan bantuan cahaya.

“Saya hidap penyakit kencing manis sejak 2010 dan ia bertambah buruk tahun lalu. Februari lalu, doktor beritahu saya menghidap penyakit buah pinggang tahap empat,” katanya.

Noor Baini berkata, doktor mencadangkan suaminya menjalani pembedahan mata, namun dia buntu untuk mencari RM1,500 bagi membiayai kos pembedahan itu yang akan dijalankan pada 9 April (esok) di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

“Suami melakukan kerja kampung sebelum ini. Namun semua wang simpanan habis, malah kereta turut dijual untuk menampung perbelanjaan rumah dan perubatan.

“Kami sekeluarga hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM95 sebulan bermula Julai tahun lalu. Namun, jumlah itu tidak mampu menampung perbelanjaan kami,” katanya.

Setakat ini, anak sulung mereka, Muhammad Nor Fazli, 24, sudah berkahwin dan bekerja di sebuah kilang di Semambu, dekat sini dengan pendapatan RM700 sebulan.

Anak keduanya, Muhammad Nur Fahmi, 20, pula terpaksa berehat di rumah berikutan patah tangan kiri selepas terbabit kemalangan pada Disember lalu, manakala dua anak lain, Nurul Farhana, 15 dan Muhammad Nur Hakim, 5, masih lagi bersekolah.

Sementara itu, Noor Baini berkata, dia perlu membawa suaminya ke HTAA tiga kali seminggu dan terpaksa menggunakan wang persekolahan anaknya untuk membayar tambang teksi.

“Dengan wang yang terhad, saya terpaksa mengorbankan perbelanjaan anak saya. Sedih apabila mengenangkan anak saya hanya pergi ke sekolah dua hari seminggu, namun saya tiada pilihan lain.

“Farhana pernah menyuarakan hasrat untuk berhenti sekolah, namun saya larang,” katanya.

Noor Baini berkata, bayaran van sekolah Farhana tertunggak hampir empat bulan, manakala sewa rumahnya sudah dua tahun tidak berbayar.

Katanya, hasrat untuk berniaga makanan juga terhalang walaupun sudah mempunyai lesen perniagaan dan pernah memiliki gerai di Batu 6, Jalan Gambang.

“Saya tidak mampu bayar sewa bulanan sedangkan peralatan sudah dibeli,” katanya.

Keluarga tersebut ditemui ketika menerima kunjungan Pemangku Ketua PKR Cabang Indera Mahkota, Lee Chean Chung, di sini, semalam.

Chean Chung berkata, pihaknya akan membantu menggunakan saluran sesuai dan merujuk masalah keluarga berkenaan kepada badan bukan kerajaan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1004100154783 atas nama Mazlan ataupun menghubungi Noor Baini di talian 013-9154233.