KUANTAN - Polis menegaskan akan menjejaki individu yang bertanggungjawab menyebarkan berita palsu sehingga membawa kepada tindakan sekumpulan lelaki merusuh di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP), Gebeng, malam semalam.

Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Mohammad Noor Yusof Ali berkata, kejadian itu telah mengakibatkan empat pengawal keselamatan warganegara China cedera dipukul termasuk seorang patah kaki kiri oleh sekumpulan 50 hingga 60 lelaki.

“Setakat ini kita telah memanggil kesemua pengawal yang bertugas malam tersebut untuk direkodkan keterangan mereka dengan bantuan jurubahasa. Ia bagi melengkapkan siasatan.

“Polis percaya tindakan sekumpulan lelaki tersebut adalah berpunca daripada satu berita yang disebarkan dalam Facebook menyatakan seorang pemandu lori mati dipukul di MCKIP.

“Justeru polis menasihati orang ramai agar tidak mudah mempercayai dan berhenti menyebar berita palsu. Orang ramai perlu mengambil kesahihan sesuatu berita terlebih dahulu serta jangan sesekali bertindak sendiri,” katanya pada sidang media, semalam.

Mohammad Noor berkata, dalam kejadian malam semalam sekumpulan lelaki telah pergi ke pos pengawal itu dan menimbulkan kekecohan dengan bertindak membaling objek, memecahkan cermin dan merosakkan pos pengawal berkenaan.

“Akibat rusuhan itu, empat pengawal keselamatan warganegara China cedera dan seorang daripadanya cedera dipukul dengan objek dipercayai besi. Mangsa yang patah kaki dirawat di sebuah hospital swasta di sini dan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata sehingga tahun ini sebanyak empat laporan polis dibuat berkaitan MCKIP yang mana ia berkaitan kes sesama kontraktor, pergaduhan dan pukul sesama pekerja yang berpunca dari komunikasi.

Menurutnya, ada kes yang sudah lengkap siasatan untuk dibawa ke mahkamah dan ada kes yang ditarik balik oleh pengadu.

Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa komunikasi menjadi permasalahan utama memandangkan kebanyakan pekerja pengawal tidak tahu berbahasa Melayu dan Inggeris.

Susulan kejadian tersebut polis telah berhubung dengan pengurusan MCKIP untuk melakukan penambahbaikan khususnya permasalahan komunikasi dengan menempatkan penterjemah atau pekerja yang boleh berbahasa Melayu atau Inggeris untuk memudahkan urusan keluar masuk ke lokasi tersebut.