KUANTAN - Bagi memaksimumkan lebihan hasil laut yang tidak boleh dijual, Jabatan Perikanan Pahang mengambil langkah menjadikan ikan selayang, tamban dan belanak sebagai ikan pekasam.

Pengarahnya, Datuk Adnan Hussain berkata, ikan laut sesuai di jadikan ikan pekasam walaupun ia agak baharu di sini.

Menurutnya, sedar terhadap potensi itu, pihaknya mengadakan kursus pemprosesan ikan laut menjadi ikan pekasam.

“Ada musim tertentu ikan yang ditangkap nelayan mempunyai nilai rendah selain berlebihan menyebabkan ia tidak boleh jual.

“Justeru, bagi mengelak pembaziran, ikan berkenaan boleh dijadikan ikan pekasam yang mana boleh menjana pendapatan golongan wanita terutama ibu tunggal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada penutup Kursus Pemprosesan Ikan Pekasam yang disempurnakan oleh Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Shafik Fauzan Sharif. di sini, semalam.

Adnan berkata, pembuatan ikan pekasam berkenaan akan menjadi salah satu tumpuan pihaknya dalam mempelbagaikan hasil sumber laut di negeri ini.

Katanya, kursus dan bimbingan akan dijalankan secara berperingkat di seluruh negeri.

“Saya mengalu-alukan penglibatan golongan wanita dalam pembuatan ikan pekasam dari ikan laut ini.

“Saya harap ia akan berkembang dan mendapat permintaan dalam pasaran apabila kumpulan pertama yang mengikuti kursus mula mengeluarkan hasil pertama mereka,” katanya.

Sementara itu, peserta kursus, Fauzita Othman, 31, berkata, dia gembira dapat menyertai kursus berkenaan kerana mendapat kemahiran baharu iaitu membuat ikan pekasam.

Dia yang mempunyai kedai makan kecil-kecilan di Kampung Sungai Soi berkata, dia akan memanfaatkan kursus tersebut dengan menghasilkan ikan pekasamnya sendiri.

“Ikan Pekasam ini sedap dijadikan sebagai penambah selera dan masyarakat kita juga sukannya.

“Jadi, saya rasa, apabila hasil pertama siap nanti, ia akan mempunyai permintaan yang tinggi,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.