KUALA ROMPIN - Anak-anak peneroka Gugusan Felda Selendang di sini, yang bekerja menghantar buah sawit ke Kilang Sawit Selendang menggesa supaya mengutamakan penerimaan buah sawit Felda.

Penerimaan buah sawit luar iaitu bukan dari ladang peneroka atau FGV mendatangkan masalah terutama ketika musim buah sawit menjadi.

Apabila banyak lori dari luar masuk, maka giliran akan menjadi lebih panjang sekali gus memakan masa lama menyebabkan bilangan penghantaran menjadi tidak banyak dan merugikan.

Lori sawit dari dalam dan luar parkir di tepi jalan luar Kilang Sawit Selendang sementara menunggu giliran.

Seorang anak peneroka, Adnan Mohamad, 29, berkata, walaupun masalah itu tidak berlaku setiap hari tetapi ia terjadi kerap dan kebiasaan memakan beberapa hari dalam seminggu.

Menurutnya, masalah itu tidak akan membebankan pihak yang bekerja menghantar buah sawit Felda atau FGV sekiranya buah sawit kedua-dua pihak ini diutamakan.

“Apabila kilang menerima banyak buah luar, urusan timbang akan jadi lambat dan kami yang bawa hasil Felda perlu tunggu giliran hingga lebih enam jam. Macam Ahad baru-baru ni, kami sampai jam 9 pagi tapi jam 4 petang baru dapat berurusan.

“Kilang sawit ni ada masanya ok, tapi seeloknya utamakan buah Felda sebagai menghargai kesetiaan peneroka,” katanya.

Adnan berkata, tidak salah untuk pihak kilang mengambil buah luar tetapi jika menjejaskan peneroka, ia perlu dikaji semula bagi mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang timbul.

Masalah rugikan peneroka

Hasri Shaari, 38, yang juga anak peneroka turut berhadapan masalah sama dan mengakui ia mendatangkan kerugian kepadanya serta peneroka.

Jelasnya, apabila masa menunggu begitu panjang menyebabkan kerja-kerja penghantaran buah hanya boleh dibuat sekali sehari berbanding boleh dilakukan tiga kali jika tidak berlaku kesesakan.

Katanya, jumlah pihak luar yang banyak hantar buah ke Kilang Sawit Felda ini adalah disebabkan harganya yang lebih tinggi.

Kilang Sawit Selendang digesa supaya mengutamakan buah sawit Felda berbanding buah luar jika berlaku kesesakan.

“Sebagai pihak yang menghantar, kesan pengurangan trip penghantaran menyebabkan kami menanggung kerugian kerana kos minyak dan gaji pekerja.

“Peneroka juga rugi kerana buah mereka lambat boleh dihantar, tambah lagi bermasalah apabila buah yang tidak dapat dihantar hari ini akan bertambah esoknya, kualiti buah akan berkurangan jika lambat dihantar ke kilang,” katanya.

Hasri berkata, apabila berlaku kelewatan maka peneroka akan merungut kepadanya sedangkan masalah berlaku pada giliran penerimaan di kilang, bukan pihaknya.

Sementara itu, wartawan Sinar Harian cuba dapatkan reaksi pihak Kilang Sawit Selendang namun tidak dibenarkan masuk oleh petugas yang berkawal dan memaklumkan arahan larangan tersebut diterima daripada pengurus kilang berkenaan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MARAN - Jawatankuasa Bertindak Suara Generasi Kedua Felda (SGK2F) menyarankan warga peneroka membuat aduan secara dalam talian untuk mendapat maklum balas dan siasatan segera, sekiranya mempunyai masalah berkaitan ladang.
  • GUA MUSANG - Hanya beza 47 hari, peneroka Felda Chiku 7, di sini menyusuli pemergian arwah isterinya selepas dia mengalami serangan jantung di sebuah kedai runcit di kawasan tanah rancangan itu.
  • JENGKA - “Saya mahu jadi orang pertama kibar Jalur Gemilang kerana saya sayangkan Malaysia!” kata Peneroka Felda Jengka 2, Musa Ali, 67.
  • BENTONG - Mengambil keputusan keluar daripada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk mengusahakan sendiri ladang kelapa sawit sejak lima tahun lalu ternyata beri pengalaman pahit kepada dua peneroka Felda Lurah Bilut, Muhammad Asri Lazim, 33, dan Ow Yik Wah, 60.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.