ROMPIN - Pakatan Harapan (Harapan) Rompin meletakkan harapan tinggi kepada warga Felda di daerah ini supaya membuat perubahan dengan mengundi calon mereka pada PRU14.

Justeru, parti itu memberi tumpuan di Felda tanpa mengabaikan kampung tradisional, bandar dan perkampungan Orang Asli.

Penyelaras Harapan Parlimen Rompin, Sitarunisah Abdul Kadir, berkata, sebagai seorang anak peneroka Felda Chini beliau sendiri dapat merasakan kesusahan peneroka dari dulu hingga kini.

Menurutnya, secara tidak langsung situasi itu menjadi kelebihannya kerana majoriti pengundi di daerah ini ramai di kawasan Felda.

“Saya banyak turun ke sana (Felda) tanpa mengabaikan kawasan lain cuma tumpuan diberikan di Felda.

“Ini kerana harapan kita tinggi agar semua warga Felda berubah, sudah tentu Parlimen Rompin pasti kami tawan, jadi kebergantungan kami kepada warga Felda amat besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Berdasarkan perkembangan itu, Sitarunisah turut memberitahu ada petanda baik yang ditunjukkan bakal pengundi di daerah ini pada PRU14.

Menurutnya, ia terbukti apabila ada kawasan yang sebelum ini disifatkan sebagai kubu kuat BN dan sukar dimasuki Harapan namun situasi kini sudah berubah.