KUANTAN –  Sepasang suami isteri tinggal sehelai sepinggang selepas  rumah yang didiami mereka sejak 40 tahun lalu di Felda Bukit Kuantan, di sini, musnah dalam satu kebakaran kira-kira jam 11.30 pagi, kelmarin.

Ketika kejadian, mangsa  Abdullah Ahmad, 66 dan isterinya, Hasnah Abd Rahman, 59,  tiada di rumah.

Abdullah berkata, sewaktu mendapat berita mengenai kejadian tersebut dia sedang mengambil upah memotong rumput di pejabat tanah bersama isterinya.

“Setelah dihubungi jiran, saya bergegas balik tapi api dah musnahkan 80 peratus kediaman, yang tinggal hanya bahagian dinding batu sahaja.

“Jiran kata mereka nampak api marak dengan cepat kerana sebahagian struktur rumah dibuat dari kayu dan papan lapis. Mereka nampak asap hitam bermula di bahagian bilik dan pecahkan tingkap sebelum cuba padam kebakaran.

“Saya percaya punca kebakaran disebabkan litar pintas sebab rumah kami masih guna pendawaian lama,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui rumahnya di Felda Bukit Kuantan, di sini, semalam.

Menurutnya, dia reda dengan kejadian yang menimpa dan tetap bersyukur kerana mereka terselamat.

“Kami pun tinggal berdua sahaja, dapat rumah kecil pun tak apa asalkan ada tempat berteduh,” katanya yang kini tinggal di rumah anaknya di Kampung Belukar, Batu Tiga di sini, buat sementara waktu.

Dalam pada itu, Hasnah berkata, mengimbas kembali kejadian, dia terkejut dan hanya mampu menangis sebaik sahaja mengetahui rumah mereka musnah.

“Tiba depan rumah saya hampir pengsan, tak sangka rumah kami yang hampir 40 tahun didiami rentung.

“Mujur juga tak ada barang berharga di rumah sebab kebetulan saya tergerak hati nak bawa. Cuma terkilan tak dapat selamatkan surat beranak dan sijil berhenti sekolah juga barangan elektrik," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 12.08 tengah hari, kelmarin.

“Seramai lapan anggota dengan kekuatan tiga jentera bomba berjaya mengawal dan memadamkan api dalam tempoh 10 minit.

“Ketika pihak bomba tiba 15 minit kemudian memandangkan lokasi yang jauh lebih kurang 20 kilometer, rumah papan separuh kekal itu sudah musnah hampir 80 peratus dan punca serta nilai kerugian masih dalam siasatan.

“Tindakan operasi menggunakan dua aliran hosereel air tangki pam jentera dan tiada melibatkan mangsa,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • DUNGUN - 16 sekeluarga termasuk ibu dalam pantang bersama sepasang bayi kembar yang baharu berusia 13 hari hilang tempat tinggal apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Paya, Balai Besar, di sini dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengahari semalam.
  • BANDAR BAHARU - Seorang ibu tunggal menanggung kerugian berganda selepas wang simpanan RM10,000 yang dihimpun sejak 10 tahun lalu hangus dalam kebakaran di kediamannya dalam kejadian 3 petang semalam di Kampung Sungai Buloh di sini.
  • PONTIAN - Kekurangan sumber air menjadi cabaran buat anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas yang bertugas memadam kebakaran pusat pelupusan sampah dekat Kampung Air Putih yang bermula sejak seminggu lalu.
  • KLUANG - Seorang lelaki maut apabila kereta jenis Camry yang dipandunya hilang kawalan di kilometer (KM) 36, Jalan Yong Peng- Paloh, dekat sini, petang semalam.
  • JOHOR BAHRU - Syarikat konsesi, SWM Enviroment (SWM) Sdn Bhd Pontian dikenakan empat kompaun masing-masing berjumlah RM 2,000 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) semalam, kerana melakukan pembakaran terbuka di tapak pelupusan sampah Pekan Nanas, baru-baru ini.