TEMERLOH - Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Temerloh menafikan 30 pelajarnya keracunan makanan seperti dilaporkan oleh sebuah agensi berita, semalam.

Pengetuanya, Zaberi Abdul Hamid berkata, laporan berkenaan tidak benar kerana tiada kes keracunan makanan di sekolah itu, sebaliknya kekeliruan timbul apabila wakil media kebetulan menyaksikan sebuah bas dinaiki pelajar sekolah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Sanggang, di sini.

“Hari ini kami benarkan mana-mana pelajar yang mendakwa tidak berapa sihat untuk mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

“Ia susulan dakwaan seorang pelajar yang mendakwa tidak sihat dan demam. Apabila kita benarkan seorang pelajar ini cuti berehat dan boleh pulang ke rumah, maka semakin ramai pelajar bagi alasan tidak sihat.

“Mereka ini pelajar tingkatan satu dan dua telah mendapatkan rawatan susulan namun selepas pemeriksaan, mereka tiada masalah seperti dilaporkan,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi, di sini semalam.

Zaberi berkata, berdasarkan pengalamannya sebagai guru, pelajar asrama yang mendakwa tidak sihat itu sebenarnya hanya mengambil kesempatan memberikan alasan tidak sihat kerana mahu pulang ke rumah untuk cuti hujung minggu.

“Kalau ada keracunan makanan sudah tentu pelajar lain termasuk guru yang makan di dewan makan akan  mengalami simptom keracunan makanan, tetapi hanya pelajar tingkatan satu dan dua terlibat manakala pelajar tingkatan tiga, empat dan lima tak ada mengadu.

“Bagaimanapun, bagi memuaskan hati semua pihak kita minta pejabat kesihatan melakukan pemeriksaan yang mana keputusan awal mendapati tiada keracunan makanan,” katanya.

Beliau berkata, pihak sekolah sentiasa memantau kesihatan pelajar dan membenarkan mana-mana pelajar untuk mendapatkan pemeriksaan di klinik sekiranya mendakwa tidak sihat.

“Sebelum pelajar ini pergi ke hospital kita telah periksa suhu badan mereka yang kebanyakannya tidak demam,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.