JANDA BAIK - Hajat 12 penunggang motorcross ingin mengharungi cabaran laluan lasak antara Negeri Sembilan ke Janda Baik Pahang tidak kesampaian apabila tujuh daripada mereka terkandas di dalam hutan berhampiran sempadan Negeri Sembilan dan Pahang di sini semalam.

Seorang mangsa, Najib Ali, 36 tahun berkata dirinya bersama penunggang lain mula memasuki hutan di Jelebu, Negeri Sembilan pada hari Sabtu lalu jam 8.30 pagi.

Menurutnya, setibanya mereka di Kenaboi iaitu sempadan antara Pahang dan Negeri Sembilan, tujuh buah motosikal telah kehabisan minyak. yang menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan perjalanan.

“Kita memang ada bawa bekalan minyak tambahan tapi kita tak sangka perjalanan terlalu mencabar dan kita pun tak tahu yang perjalanan terlalu jauh.

“Ada di antara mereka motorsikal mereka telah rosak yang menyebabkan kami semua tidak dapat bersama untuk meneruskan perjalanan dan kami terpaksa berpecah untuk menghantar pasukan keluar dari situ untuk mendapat bantuan,”katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat kerana memberikan layanan yang terbaik dalam memberi rawatan sebaik sahaja kami keluar daripada hutan.

“Saya dan lima orang lagi penunggang sampai di Janda Baik pada hari Ahad kira-kira jam 2.30 petang dan terus menghubungi anggota  penyelamat.

“Setibanya mereka di tempat yang kami keluar, kami terus diberi rawatan dan makanan dan layanan mereka sangat baik,”katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Bentong, Mohd. Zulkhairi Adek Awang berkata pihaknya telah menerima panggilan daripada Najib pada pukul 3.58 petang semalam dan pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian pada jam 4.30 petang.

Menurutnya, seramai dua pegawai dan 16 anggota Renjer Hutan APM yang terlibat di dalam operasi yang merupakan operasi pertama mereka sejak ditubuhkan pada 3 Mac lalu.

“Ini merupakan operasi pertama buat Renjer Hutan APM yang mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit dan kesemua mangsa berjaya dibawa keluar jam 6.05 petang semalam,”katanya

Zulkhairi turut menasihatkan kepada mereka yang gemar menjalani aktiviti hutan, mereka harus meminta permit daripada Pejabat Perhutanan dan melaporkan aktiviti mereka kepada pihak polis

“Perkara ini wajib dan perlu dilakukan oleh semua yang ingin melakukan aktiviti di dalam hutan bagi mengelakkan sesuatu musibah itu dapat diberi pertolongan dengan pantas oleh agensi penyelamat,”katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.