KUANTAN - Penduduk Taman Tas di sini resah dan bimbang dengan kekerapan berlakunya kejadian jenayah di kawasan tersebut sejak beberapa tahun lalu.

Penduduk dan peniaga di situ merayu pihak berkaitan agar menyelesaikan masalah itu bagi mengurangkan keresahan mereka terutama kes-kes  pecah masuk rumah, kecurian pelbagai barangan antaranya bateri kenderaan dan ragut.

Justeru Persatuan Pusat Perkhidmatan Geha Bodhi di sini mengambil inisiatif menganjurkan Majlis Dialog Pencegahan Jenayah dan Dadah Taman Tas bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang pada 6 Ogos depan di Dewan Serbaguna Taman Tas bagi menangani masalah tersebut.

Pengerusinya, Lam Kai Cheong berkata, dialog itu akan bermula jam 8 malam dan pihaknya mengharapkan penduduk di taman terbabit tidak melepaskan peluang untuk turun padang menyuarakan kebimbangan mereka.

“Kita berharap penduduk turun beramai-ramai dan tidak hanya merungut semata-mata dan ini adalah platform terbaik buat orang ramai.

“Kita menyasarkan sehingga 300 penduduk akan menyertai dialog terbuka ini, Kami  menyedari keresahan dan situasi yang kian membimbangkan dengan pelbagai aktiviti jenayah yang berlaku di taman ini,” katanya dalam sidang media sempena dialog itu di sini, semalam.

Dalam pada itu, seorang peniaga makanan, M Prabakaran, 58, berkata, gerai miliknya telah dipecah masuk pada Mei lalu menyebabkan kerugian kira-kira RM500 selepas beberapa tong gas dan besi dicuri.

Menurutnya, dia akan menyertai dialog itu yang disifatkan peluang terbaik buat dia dan penduduk lain untuk mencari jalan penyelesaian terhadap masalah ini.

“Sebenarnya saya berharap pihak berkuasa dapat bertindak segera untuk memastikan kawasan taman ini tak jadi lubuk jenayah,”katanya yang telah menetap di taman itu sejak 30 tahun lalu.

Kebimbangan sama turut diluahkan peniaga ayam, Woon Yuen Pin, 55, yang mengharapkan pihak polis lebih kerap membuat rondaan.

“Tahun ini, rumah saya pernah dipecah masuk. Saya risau sampai nak letak kereta di luar pun risau baterinya dicuri," katanya.

Dalam pada itu, taman itu yang dibuka pada era 1970-an kini memiliki penduduk lebih 10,000 orang dan ia semakin berkembang berikutan perkembangan pusat perniagaan di kawasan taman tersebut.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.