KUANTAN - Gara-gara hutang pinjaman peribadi RM20,000, seorang guru wanita berputih mata apabila terpaksa menanggung kerugian lebih RM108,000 selepas didakwa tertipu dengan syarikat pemberi pinjaman wang di laman sosial.

Guru berusia 43 tahun itu tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, 12 Jun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pengadu berminat dengan pinjaman peribadi atas nama sebuah koperasi yang diiklankan dalam laman sosial facebook.

Menurutnya, tertarik dengan pinjaman itu, pengadu meletakkan nombor telefonnya di  laman web itu  pertengahan April lalu  bagi memudah pihak koperasi menghubunginya.

"Pada 30 April,  pengadu dihubungi seorang wanitae menggunakan nama  Miss Celine dari sebuah syarikat pinjaman wang dan  menawarkan pinjaman peribadi RM20,000 dengan bayaran bulanan RM433.33 selama la  tahun melalui auto debit bank.

"Berdasarkan keterangan pengadu, pada awalnya dia dikenakan bayaran proses  RM 540 dan dia bersetuju dengan tawaran tersebut,"katanya.

Mohd Wazir berkata, bermula pada 3 Mei sehingga 9 Jun lalu,  pengadu  dikenakan pelbagai caj dan dikehendaki membuat beberapa bayaran ke dalam akaun bank yang berlainan bagi tujuan kelulusan pinjaman sehingga mencecah RM108,380.

"Ekoran terlalu banyak transaksi dibuat,  pengadu sedar dia sudah tertipu dan membuat laporan polis,"katanya